PAC akan siasat isu tukar tanah Mindef, AES, 1BestariNet


Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, terdapat merit untuk mengadakan prosiding ke atas 3 isu itu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan ia akan menyiasat 3 isu di bawah Kementerian Pertahanan, Pengangkutan dan Pendidikan.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, 3 isu itu membabitkan pertukaran tanah Kementerian Pertahanan dari 1995 hingga 2018, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) Kementerian Pengangkutan (2012 hingga 2018) serta projek 1BestariNet di bawah Kementerian Pendidikan (2011 hingga 2019).

Beliau berkata, PAC memutuskan untuk mengadakan prosiding itu selepas diberikan taklimat oleh Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Ambrin Buang.

“Kita berpendapat terdapat merit dalam ketiga-tiga isu untuk dibawa dalam prosiding jawatankuasa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berhubung perjanjian pertukaran tanah, beliau berkata, jawatankuasa khas itu menyiasat 16 kes melibatkan tanah kerajaan seluas 2,923 ekar bernilai RM4.8 bilion.

Katanya, PAC dimaklumkan isu dalam perjanjian pertukaran tanah itu menyebabkan kerajaan mengalami kerugian akibat kaedah penetapan nilai tanah balasan yang tidak konsisten serta pertimbangan politik melebihi kepentingan pertahanan.

Wong berkata, saksi pertama untuk isu itu ialah ketua setiausaha Kementerian Pertahanan yang akan dipanggil memberikan penjelasan pada 30 Nov ini.

“Selepas prosiding ini, PAC Parlimen akan membuat keputusan sama ada untuk memanggil saksi lain yang terlibat dalam isu berkenaan.”

Mengenai AES, katanya, isu itu membabitkan kewajaran pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berjumlah RM555 juta terhadap pengambilalihan syarikat konsesi AES yang mana pelaburan asal syarikat itu hanya berjumlah RM40 juta.

Projek AES ialah inisiatif sistem penguatkuasaan dalam menangani isu kemalangan jalan raya melalui pendekatan “perception of being caught”.

Mengenai projek 1BestariNet yang bermula 2011 pada kos RM2.7 bilion, beliau berkata, analisis jawatankuasa khas itu melaporkan kelemahan dan kecuaian dari segi tadbir urus yang menyebabkan objektif projek itu tidak tercapai.

Dilancarkan Menteri Pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin, objektif 1BestariNet bertujuan melengkapkan 10,000 sekolah di seluruh negara dengan akses internet berkelajuan tinggi 4G dan platform pembelajaran maya (Virtual Learning Enviroment).



No comments: