SURAT TERBUKA KEPADA 220 AHLI PARLIMEN

 

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA…

1. Negara telah memilih Demokrasi sebagai acuan dan panduan bernegara. Amalan pengasingan kuasa melalui 3 cabang pemerintahan (Parlimen, Kabinet dan Kehakiman) adalah doktrin demokrasi terpenting dalam urusan pemerintahan negara kita.

2. Konsep Bernegara kita merujuk kepada kuasa dalam perlembagaan melalui Institusi Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen, Pilihanraya Bebas, Hak Kebebasan Individu dan Kehakiman yang bebas.

3. MP yang dilantik oleh rakyat berikrar dan bersumpah untuk mempertahankan asas-asas demokrasi ini sejurus masuk ke dewan yang mulia. Lafaz berbunyi:

Saya, ……………………………………………………………………………., setelah dipilih (atau dilantik) sebagai seorang ahli Dewan Rakyat (atau Dewan Negara) dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segala upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya.”

4. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab MP untuk melakukan sepenuhnya seperti yang dilafazkan ‘…menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya”

5 Krisis politik negara memerlukan 220 MP membetulinya secara demokrasi sebagaimana yang dijangkakan ketika MP menawarkan diri sebagai calon dalam pilihanraya. MP perlu selesai isu bukti majoriti Perdana Menteri hari ini sebagai pra-syarat keabsahan tugasannya untuk mengeluarkan nilai RM322b dalam bajet 2021 sebagimana termaktub dalam perlembagaan. Hal ini telah ditegaskan secara tepat oleh MP Gua Musang dalam suratnya kepada Speaker Dewan Rakyat yang diedarkan di atas meja kita.

6. Hanya Parlimen mampu membetuli dan memulihkan keadaan dalam krisis mandat yang telah dibeloti oleh Langkah Sheraton. Luka negara terlalu mendalam diparahkan lagi dengan krisis hilang kepercayaan terhadap institusi pemerintahan oleh rakyat, termasuklah hilang hormat terhadap institusi parlimen kita.

7. Janji menumpahkan taat setia kita kepada Malaysia menuntut kita membuat keputusan kritikal secara bersama untuk proses penyembuhan negara bagi kita membuang ‘badi-badi pembelotan’. Kepercayaan kepada institusi pemerintahan dan politik negara perlu kita pulihkan dan sekaligus institusi parlimen dikembalikan kewibawaannya. Kita punya masa 3 tahun sebelum pembubaran wajib dan setiap 220 anggota di kalangan kita seharusnya bersetuju membentuk Suruhanjaya Di Raja untuk tujuan penyembuhan ini.

8. Demokrasi kita diuji melalui fasa pendemik global ini di mana kepercayaan terhadap kerajaan semakin penting menentukan keberkesanan kerajaan menangani krisis. Begitu juga keberkesanan penyampaian yang menjadi kayu pengukur kejayaan. Kerajaan Perikatan Nasional membuktikan dirinya lemah dalam mengemudi saat krisis ini dan mana-mana kerajaan sekalipun akan terdedah kepada berbagai kelemahan dalam masa pendemik ini.

9. Oleh kerana itu, 220 MP perlu tangani perkara pokok masalah iaitu dengan memelihara dan melindungi demokrasi berperlembagaan supaya mana-mana kerajaan sekalipun akan dipandu atas landasan penting ini dan tidak akan melanggar asas perlembagaan.

10. Jangan kita hilang fokus untuk tergesa-gesa luluskan bajet atau tidak luluskan sedangkan kita gagal memelihara dan melindungi perlembagaan negara. Bajet tidak guna diluluskan jika PM hari ini gagal membuktikan dia ada majoriti dan kita 220 MP gagal mempertahankan hak asas dalam perlembagaan negara!

DS Dr Mujahid Yusof Rawa

Naib Presiden AMANAH

Ahli Parlimen Parit Buntar

25 Nov 2020.