COVID 19 MENINGKAT KERANA KEGAGALAN KERAJAAN

 

Malaysia telah mengatasi Singapura dengan mencatatkan lebih banyak kes terkumpul Covid-19, dua hari lebih awal daripada jangkaan saya.

Dengan trajektori semasa, kini dijangka akan mengatasi kedudukan China sebelum persidangan parlimen berakhir pada pertengahan bulan Disember. 

Negara kita kini berada di tempat ke-83 di seluruh dunia dengan 58,847 kes terkumpul Covid-19, manakala Singapura berada di tempat ke-84 dengan 58,183 kes terkumpul.

China, yang merekodkan jumlah kes dan kematian akibat Covid-19 terkumpul tertinggi pada awal tahun ini, kini berada di tempat ke-68 dengan 86,464 kes dan 4,634 kematian. 

Saya telah menjangkakan yang Malaysia bakal mengatasi kedudukan China menjelang akhir tahun ini. Bagaimanapun, saya mengubah jangkaan itu kepada seminggu lebih awal, kira-kira semasa musim Krismas. 

Tetapi saya tidak menjangkakan peningkatan harian kes Covid-19 akan terus memuncak untuk melepasi angka 2,000. 

Semalam, Malaysia mencatatkan satu lagi rekod suram apabila Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan 2,188 kes baharu Covid-19, rekod tertinggi baharu untuk dua hari berturut-turut.

Rekod tertinggi sebelum ini adalah sebanyak 1,884 kes pada hari sebelumnya. 

Perkara ini adalah hasil kegagalan kerajaan. 

Kita mengabaikan nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggesa kerajaan di seluruh dunia melaksanakan tindak balas dan pendekatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”.

April lalu, Pengarah WHO Asia Tenggara, Dr Poonam Khetrapal Singh berkata: 

“Pendekatan lebih komprehensif diperlukan, yang komuniti menjadi fokus utama respons kita. 

“Lebih penting lagi, komuniti perlu dilibatkan dan diperkasakan untuk melaksanakan respons dan tindakan yang sewajarnya. 

“Semua orang perlu bertanggungjawab. Dalam keadaan semasa ini, semua orang perlu menyumbang untuk mengurangkan impak wabak ini terhadap kesihatan dan aspek sosioekonomi.”

Tetapi perkara ini tidak berlaku di Malaysia walaupun selepas sebelas bulan berhadapan dengan Covid-19. 

Bukan sahaja kita mempunyai seorang menteri kesihatan yang halimunan, tetapi sehinggakan 7,000 orang doktor am merasakan mereka disisihkan daripada usaha membantu melawan wabak Covid-19 ini. 

Adham boleh berkongsi beban perkhidmatan seperti imunisasi, perkhidmatan x-ray, penjagaan luka, pengurusan ubat jangka panjang, pemeriksaan kesihatan, ujian darah, kes-kes penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi, kolestrol tinggi, obesiti, rawatan methadone kepada penagih dadah, dan perkhidmatan ujian ante-natal dan ultrasound untuk mengurangkan beban hospital dan klinik KKM.

Ujian Covid-19 adalah satu lagi perkara yang boleh dibantu oleh rakyat Malaysia.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)DAP Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran menawarkan ujian rapid testing kit-antigen (RTK-AG) Covid-19 swasta kepada pihak awam dengan kos yang disubsidi.

Ia ditawarkan pada harga RM70 untuk satu ujian, jauh lebih rendah berbanding antara RM150 ke RM180 yang dikenakan di pusat kesihatan swasta.

Kerajaan boleh menyediakan ujian RTK-AG ini pada kos yang jauh lebih murah jika kerajaan melibatkan doktor-doktor am dalam proses ini. 

Dalam penggulungannya di parlimen, Adham perlu menjelaskan persoalan-persoalan berikut bagi menunjukkan sejauh mana kerajaan memanfaatkan doktor am dalam usaha memerangi Covid-19:

  • Jumlah klinik am yang ditutup di seluruh negara kerana Covid-19;
  • Berapa ramai doktor am dan kakitangan mereka yang dijangkiti Covid-19 — berapa ramai dijangkiti secara langsung di klinik;
  • Berapa ramai doktor yang diperintahkan menjalani kuarantin kerana “terdedah” kepada Covid-19; dan
  • Apa tindakan KKM untuk mengurangkan jangkitan di kalangan pekerja kesihatan sektor swasta, jika ada.

Kejadian Jeffrey Kitingan memasuki Dewan Rakyat semalam, sebelum menamatkan tempoh kuarantin 14 hari adalah satu sebab mengapa wujud apa yang dikatakan oleh menteri komunikasi dan multimedia, sebagai “defisit kepercayaan”, apabila sesetengah orang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan arahan kerajaan. 

(Kuarantin itu sebelum ini dikenakan kepada pengembara daripada Sabah sebagai sebahagian daripada SOP Covid-19. Ia kemudiannya disusuli dengan pengumuman KKM mengenai penamatan keperluan kuarantin 14 hari untuk semua orang yang tiba daripada Sabah.)

Di seluruh dunia, kita masih belum dapat mengawal wabak ini. 

Satu lagi rekod suram baru sahaja dicatatkan, dengan kes terkumpul di seluruh dunia memecah angka 60 juta, manakala kematian meningkat melepasi paras 1.4 juta. 

Negara kita memerlukan pelan jangka panjang untuk mengatasi masalah kesihatan awam, ekonomi, sosial, dan usaha pembinaan negara susulan Covid-19. 

Apa yang mengejutkan, selepas sebelas bulan berhadapan dengan wabak yang mungkin berlarutan sehingga 2022, kita hanya mempunyai rancangan jangka pendek.

Kita tidak mempunyai rancangan jangka sederhana dan jangka panjang.

Bilakah kerajaan boleh membentangkan rancangan jangka pertengahan dan jangka panjang untuk menguruskan Covid-19 kepada parlimen?

LIM KIT SIANG, AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI, JOHOR.



No comments: