POLITIK UGUT MENJELANG PENGUNDIAN BAJET 2021

 1. Langkah awal yang sumbang akan menatijahkan segalanya sumbang. Begitulah halnya Langkah Sheraton adalah lambang pembelotan mandat yang telah menelurkan bajet sumbang untuk kekalkan budaya politik pembelotan.

2. TSMY gagal membuat satu perkara mudah dalam demokrasi berparlimen iaitu membuktikan dia ada majoriti, kerana hanya dengan bukti itu sahaja, barulah beliau layak keluarkan bajet dari kantong negara. Usahkan kami nak meluluskan RM 322B, perakuan bukti asas beliau ada majoriti pun entah ke mana?

3. Oleh kerana tiada asas demokrasi ini, maka kerajaan PN mengisi kelompongan ini dengan pujuk rayu sentimen agama dan kaum, media propaganda (sebab itu mereka perlu RM86 juta untuk JASA), serta berlindung dengan simpati covid 19.

4. Politik ugut juga memenuhi kekosongan ruang mandat demokrasi. Hasrat isytihar darurat seluruh negara oleh kabinet PN adalah budaya ugut politik, kenyataan Menteri Kewangan bahawa bajet ditolak bermakna rakyat akan menderita adalah ugutan politik dan menjadikan frontliners sebagai alasan bajet perlu lulus adalah bentuk ancaman.

5. Seluruh rakyat menjadi mangsa ugutan demi meneruskan langkah sumbang mereka. Kami Ahli Parlimen yang bersumpah dengan semangat perlembagaan memberi jaminan akan mempertahankan prinsip demokrasi berparlimen tanpa rasa takut atau kerana habuan (without fear or favor). Benteng terakhir demokrasi adalah institusi parlimen yang berwibawa dan dihormati. Rakyat melantik MP selain berkhidmat untuk rakyat, mereka mesti berkhidmat juga mempertahankan prinsip demokrasi berparlimen.

6. Saya dengan ini menyeru kesemua rakan-rakan MP supaya kembali ke pokok pangkal prinsip demokrasi dengan;

A. Pulihkan segala pelanggaran mandat demokrasi dengan langkah awal membuktikan majoriti terlebih dahulu.

B. Kembalikan kepercayaan rakyat melalui fasa sembuhan rentas parti sebelum pembubaran wajib parlimen iaitu 3 tahun dari sekarang.

C. Perancang dan penggerak pembelotan mandat perlu diadili untuk memastikan ia tidak berulang di masa hadapan.

D. Memperkukuhkan ketahanan nasional melalui semakan menyeluruh undang-undang negara yang berkaitan.

Jika kita gagal memahami punca masalah maka kita akan cuba selesai masalah secara rantingnya dan kemungkinan kes akan berulang sangat tinggi. Fasa Sembuhan Negara dan Pulihkan Demokrasi sangat kritikal untuk mengatasi budaya ugut dan mainan sentimen dari terus mengisi ruang politik kita oleh PM yang tiada majoriti!

DS Dr Mujahid Yusof Rawa

Ahli Parlimen Parit Buntar

Naib Presiden AMANAH

23 Nov 2020