Parlimen tempat berbahas, bukan tempat menteri baca teks - Anwar

 


Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azhar Azizan Harun yang terus mengehadkan jumlah ahli parlimen kepada 80 orang.

Beliau pada mulanya meminta supaya speaker memberikan kelonggaran dan memberikan lebih masa memandangkan ia adalah perbahasan untuk Belanjawan 2020.

"Biar ahli parlimen yang bangkitkan soalan juga hadir dalam dewan untuk mendengar, jadi tidak terhad jumlah 80 orang dan membolehkan mereka mendengar hujah yang disampaikan," katanya di Dewan Rakyat.

Namun, speaker tetap bertegas dengan keputusan untuk memberikan tempoh 20 minit kepada setiap kementerian, menyebabkan Anwar sekali lagi bangkit membantah perkara tersebut.

"Saya faham Menteri mahu beri penjelasan, terima kasih. Tapi Ini bukan nak dengar kuliah menteri. Parlimen ini tempat perbahasan. Kalau kita tak benarkan masuk, tunggu dia baca 'executive summary' 20 minit, kemudian baca teks, tak payah jadi ahli parlimen.

"Tuan speaker saya percaya faham peranan Parlimen terutama masa jawapan menteri iaitu membahas, mencelah, mempertikai, mempersoal. Ini tidak mungkin berlaku dalam masa 20 minit.

"Beri kelonggaran sedikit supaya lebih daripada 80 ahli parlimen boleh masuk dan waktu untuk menteri di tambah supaya ada pencelahan.

"Kalau tidak, parlimen 'does not work in this manner'.

"Menteri beri jawapan eksekutif, tiada soalan ditanya, tiada masa dan kemudian yang lain boleh baca di rumah. Ini bukan semangat yang patut dihormati oleh parlimen," katanya.

 

No comments: