Pembangkang mahu perbahasan belanjawan dilanjut selepas 2 petang, batal had kehadiran 80 orang


Anggota pembangkang berkata, perbahasan belanjawan sebelum ini tidak dihadkan sehingga jam 2 petang seperti sekarang.

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menegaskan beliau akan meneliti cadangan beberapa ahli Parlimen yang meminta masa tambahan perbahasan serta had kehadiran anggota Dewan Rakyat dimansuhkan apabila kementerian memulakan sesi menjawab hari ini.

Hari ini, sebanyak 4 kementerian akan menjawab mengenai Belanjawan 2021, iaitu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kerja Raya.

Setiap kementerian diberikan masa hanya 20 minit untuk menjawab berbanding hampir 1 jam sebelum ini.

“Saya akan teliti permintaan anda semua,” kata Azhar selepas beberapa wakil pembangkang meminta beliau memansuhkan had kehadiran 80 ahli Parlimen dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) adalah antara wakil pembangkang yang mahu Dewan Rakyat menimbangkan semula keputusan itu, dengan berkata, Parlimen adalah tempat untuk berbahas semasa menteri menjawab sebarang soalan berbangkit.

Ia kemudian disokong oleh Xavier Jayakumar (PH-Kuala Langat) and Johari Abdul (PH-Sungai Petani).

Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun) kemudian meminta sidang Dewan Rakyat dilanjutkan selepas jam 2 petang seperti sebelum ini berikutan banyak kementerian perlu menjawab soalan yang dikemukakan.

“Esok, terdapat 7 lagi kementerian dan Khamis, Kementerian Kewangan akan menjawab dan saya khuatir kita semua tidak cukup masa untuk berbahas mengenai Belanjawan 2021,” katanya.

Azhar kemudian berkata, negara kini berdepan ancaman pandemik Covid-19 dan mengehadkan tempoh berbahas adalah antara langkah yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan dalam usaha mengekang penularan wabak itu.

“Tetapi, saya akan berbincang semula dengan ketua whip parti mengenai isu ini,” katanya.