PKPB mungkin dilanjutkan hingga akhir tahun, Dewan Rakyat diberitahu

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji keperluan melanjutkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sehingga akhir tahun ini sekiranya kes positif Covid-19 menunjukkan trend peningkatan ketara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Redzuan Yusof berkata PKPB dilaksanakan berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan di setiap kawasan terbabit termasuk mengambil kira jumlah kes positif dan kadar kebolehjangkitan dalam lokaliti berkenaan.

“Pada masa sama, tindakan membendung penularan perlu kita laksanakan bagi mencegah dan mengurangkan kes Covid-19 seminimum yang boleh atau sehingga sifar kes melalui PKPB,” katanya di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, ketika sesi perbahasan Belanjawan 2021 di peringkat dasar, Redzuan berkata kerajaan juga sentiasa mengambil maklum keperitan rakyat dalam menempuhi kemerosotan ekonomi akibat wabak.

“Oleh itu, SOP sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa dan ditambah baik mengikut keperluan rakyat,” katanya

PKPB dikuatkuasakan semula di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 Nov lalu susulan peningkatan kes Covid-19.

Ia dikuatkuasakan selama 2 minggu, serta dilanjutkan beberapa kali dan dijangka berakhir pada 6 Dis ini.

Selang beberapa hari, perintah sama kemudian dikuatkuasakan di semua negeri kecuali Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Kelantan dikenakan PKPB bermula Sabtu.


No comments: