PETALING JAYA: Seorang pemimpin tinggi Umno berkata parti itu tidak mahu dipaksa terima PPBM ataupun sesiapa pun, mengharapkan parti rakan, PAS, akan memahami dan menghormati kedudukannya tentang hubungan dengan parti serpihan itu.
Katanya, Umno bukan dalam misi untuk memberikan ihsan kepada mana-mana pihak untuk bernafas dan meraih kemenangan dengan pertolongan jenteranya.
“Hanya jauhari yang mengenal manikam,” kata Naib Presiden Khaled Nordin dalam kenyataan, mengulas laporan Malaysiakini yang memetik Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa.
Annuar, yang juga ahli majlis kerja tertinggi Umno, dalam suatu temubual pada 19 Nov dilapor berkata PAS tidak akan bersama Umno tanpa PPBM.
Menurutnya, PAS bertegas Umno mesti turut menjadi rakan sekutu dengan PPBM.
Khaled menepis Annuar sebagai “bukan jurucakap PAS”.
“Ia datang daripada seorang yang hanya ingin menyelamatkan PPBM dan memecah-belahkan Muafakat Nasional,” tambahnya.
Kepada PAS, Khaled berkata Umno menghargai setiakawan parti Islam itu, mengatakan kerjasama mereka banyak memberikan kebaikan kepada politik Melayu-Islam.
Katanya, Umno tidak menghalang PAS menyertai Perikatan Nasional, walaupun gabungan itu dipimpin PPBM, kerana partinya memahami dan menghormati kedudukan PAS.
“Maka demikian juga yang Umno harapkan daripada PAS tentang hubungan Umno dengan PPBM,” katanya.
Tambahnya, PAS pasti sedar Umno akan bertembung dengan PPBM di beberapa kerusi pilihan raya.
“Apa jua rundingan dengan PPBM adalah untuk Umno lakukan terus dengan PN melalui Barisan Nasional,” katanya.
Barisan Nasional ketika ini dianggotai Umno bersama dua sekutu setia, iaitu MCA dan MIC.
Umno menjalin kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional, yang dimeterai selepas keputusan pilihan raya umum ke-14.
Kerjasama itu menyaksikan Barisan Nasional memenangi beberapa pilihan raya kecil secara berterusan.
“Umno dan PAS mempunyai sinergi yang meyakinkan. Maka sinergi inilah yang mesti dioptimumkan waktu ini,” katanya.