MENJELANG HARI MENGADAP AGONG, ANWAR SERU SEMUA KEKAL TENANG.

 

Hari ini (semalam) Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan menerusi Zoom dengan ahli Majlis Pimpinan Pusat serta wakil-wakil rakyat KEADILAN.

Presiden menekankan beberapa perkara penting yang perlu diingat untuk KEADILAN terus bergerak ke hadapan, termasuk keperluan meningkatkan usaha kami untuk terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia.

Anwar memberi penekanan kepada jurucakap Parlimen KEADILAN tentang keperluan sentiasa bekerja keras di portfolio masing-masing, tidak kiralah di dalam atau di luar Parlimen.

Mereka tidak boleh berfungsi hanya untuk menyatakan pendirian parti semata-mata, tetapi perlu bertindak sebagai penjaga kepentingan awam mengikut portfolio masing-masing.

Penting untuk mereka bekerja secara aktif dan sering berinteraksi dengan pihak berkepentingan dalam menghadapi cabaran berkaitan dengan sektor yang berada di bawah portfolio mereka.

Hanya dengan mendengarkan rintihan rakyat kita dapat mengenal pasti cara untuk membantu negara kita pulih dan makmur. Beliau menggesa semua anggota KEADILAN untuk terus berkhidmat dan membantu masyarakat setempat semasa berlakunya wabak Covid-19.

Anwar memberi penekanan khusus kepada Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan agar bekerja keras tangani cabaran rakyat di negeri-negeri tersebut akibat wabak Covid.

Walaupun pelbagai SOP yang berkaitan dengan kesihatan perlu dipatuhi, kita harus tetap membantu rakyat Malaysia, terutama anggota masyarakat kita yang paling berisiko.

Akhir sekali, Anwar memberi penerangan mengenai situasi terkini, termasuk majlis mengadap beliau dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada minggu hadapan.

Anwar meminta kami untuk menyeru semua rakyat Malaysia supaya kekal tenang dan terus mendoakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan negara kita.

DATO SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

SETIAUSAHA AGUNG

PARTI KEADILAN RAKYAT

09/10/2020.

No comments: