Lebih banyak PKPD dijangka dilaksana - Pakar

 

Lebih banyak PKPD dijangka dilaksana - Pakar

Hasimi Muhamad
Lebih banyak PKPD dijangka dilaksana - Pakar
Enam lokaliti di Semporna dan satu lokaliti di Kunak Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula 11 Oktober sehingga 24 Oktober - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kemungkinan lebih banyak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) akan dikenakan terutamanya di kawasan-kawasan yang berada di zon merah.
Pakar Dasar Kesihatan Awam, Dr Khor Swee Kheng berkata, langkah itu penting kerana ia sudah terbukti mampu memutuskan rantaian COVID-19.
Selain itu, jelas beliau, pelaksanaan PKPD disifatkan sebagai langkah tepat dalam menjamin keseimbangan menjaga kesihatan dan kelestarian ekonomi negara.
“Kita rakyat Malaysia haruslah menjangkakan lebih banyak kawasan PKPD akan dilaksanakan di seluruh negara.
“Mungkin kita memerlukan lebih banyak PKPD dalam masa akan datang kerana ia merupakan satu keseimbangan PKP bersatu negara di seluruh Malaysia dan PKP yang lebih bersasar.
“Selain itu, selepas 10 bulan melawan COVID-19, Kementerian Kesihatan (KKM), pasukan epidemiologi dan pasukan kesihatan awam mampu dan mempunyai kebolehan serta keupayaan untuk lebih tepat dan bersasar menentukan kawasan mana yang lebih bahaya dan berisiko tinggi. Jadi kita boleh melaksanakan PKPD di kawasan-kawasan tersebut,” katanya dalam temu bual menerusi Skype, pada Sabtu.
Mengulas mengenai pelaksanaan PKPD terbaharu di tujuh lokaliti, Dr Khor berpendapat, kerajaan dan kementerian terlibat harus menambah baik teknologi bagi memastikan penyaluran maklumat yang lebih cepat kepada rakyat.
BACA: Tujuh lokaliti di Sabah, kawasan Penjara Pokok Sena dikenakan PKPD
Selain itu, ujar beliau, data secara lebih tepat dan menyeluruh juga mampu membantu rakyat menganalisa dan memahami situasi semasa pandemik dengan lebih berkesan.
“Saya mencadangkan beberapa cadangan; pertama untuk meneruskan sidang media yang dilakukan oleh KKM kerana sidang media tersebut amatlah penting untuk memberikan data-data yang dikemaskini, tepat dan boleh diyakini oleh seluruh rakyat Malaysia.Ini merupakan salah satu kejayaan KKM.
"Antara cadangan lain juga ialah untuk menambahbaik aplikasi MySejahtera. Aplikasi MySejahtera ini kalau kita tengok di negara-negara lain boleh menjadi aplikasi yang sangat berpengaruh untuk memberikan maklumat yang terkini, tepat dan lebih relevan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dr Khor menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan menerusi KKM mampu mengharungi gelombang ketiga pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, beliau menyeru agar semua pihak termasuk rakyat dan agensi-agensi berkaitan berganding bahu memberikan kerjasama kepada KKM dalam memastikan usaha melawan COVID-19 berjaya.
Setakat semalam, sebanyak 354 lagi kes baharu COVID-19 direkodkan di negara ini, menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 14,722 kes.
Selain itu, sebanyak enam kematian berkaitan COVID0-19 dicatatkan, menyaksikan jumlah kematian meningkat kepada152 kes iaitu bersamaan 1.03 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

No comments: