Jika Muhyiddih hilang majoriti, kerajaan perlu dilantik segera - Dr Aziz Bari

 


Kemelut politik menjelang majlis mengadap Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Yang di-Pertuan Agong (YDP) pada 13 Oktober ini bagi mempersembahkan majoriti Ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya tidak perlu dikecamukkan oleh pandangan-pandangan yang tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

 Pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari berpendapat penganalisis politik yang cuba membayangkan beberapa pilihan yang boleh diambil ketika mana Datuk Seri Anwar telah sahih mempunyai majoriti mencukupi adalah tidak relevan di sisi Perlembagaan.

 Katanya, pilihan yang ada hanyalah Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan atau mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

 

"Perlembagaan mengatakan sekiranya PM hilang sokongan, (beliau) ada dua pilihan, pertama letak jawatan, kedua memohon Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong bubar dewan (Parlimen) tetapi kalau permintaan itu ditolak PM mesti letak jawatan.

 "Saya hairan ada (penganalisis politik) yang mengatakan sekarang ini berbeza dengan situasi sebelum ini, apabila PM Dr Mahathir (Mohamad) meletak jawatan. Sekarang (masih) ada PM, iaitu Muhyiddin Yassin.

 "Itu tidak relevan, sekiranya hari Selasa (13 Oktober) ini Datuk Seri Anwar dapat membuktikan beliau cukup sokongan, kerajaan Muhyiddin jatuh dengan sendirinya dan dia kena letak jawatan," katanya dalam sesi siaran langsung Facebook malam tadi.

 Mantan profesor kuliah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu juga berpendapat sekiranya raja-raja Melayu perlu dirujuk dalam proses melantik Perdana Menteri maka hal itu perlu dilakukan sebelum 13 Oktober bagi membuka jalan kepada beberapa penyelesaian.

 Mengulas sama ada perlunya sidang khas Parlimen dipanggil bagi melaksanakan 'Undi Percaya' terhadap Datuk Seri Anwar, Dr Aziz berkata perkara tersebut tidak timbul dalam konteks kuasa melantik PM oleh Yang di-Pertuan Agong.

 "Kemudian disebut (dalam laporan media) pilihan memanggil (sidang khas) Parlimen dan meminta Parlimen menguji atau menentukan majoriti (yang dimiliki Anwar) itu betul atau tidak.

 "Itu tidak perlu kerana peranan atau kuasa Yang di-Pertuan Agong habis apabila PM dilantik. Parlimen tiada kena mengena (dalam isu perlantikan)

 "Ada beberapa perkara yang (penganalisis politik) lupa (bahawa) kerajaan dalam konteks wesminister tidak menjawab kepada Istana. Kerajaan menjawab kepada Parlimen.

 "Mahu tidak mahu, selepas ini Datuk Seri Anwar akan diuji di Parlimen. Tak perlu panggil (sidang khas) Parlimen untuk menguji.

 "Jika terbukti Akuan Berkanun (SD) tidak palsu dan Yang di-Pertuan Agong yakin dan tidak ragu maka tiada pilihan, (Datuk Seri Anwar) dilantik sebagai PM.

 "Terpulang kepada Parlimen tentukan Anwar boleh menjalankan kerajaan atau tidak. Itu yang ditulis dalam buku-buku di seluruh dunia yang menghuraikan prinsip kerajaan dalam demokrasi berparlimen," katanya lagi.

 Dalam pada itu, ADUN Tebing Tinggi itu juga melahirkan kekesalan terhadap laporan sesetengah media massa yang seolah-olah cuba mengelirukan tafsiran Perlembagaan Persekutuan. Sedangkan katanya, Perlembagaan amat jelas dalam hal melantik kerajaan.

 Beliau menasihatkan media agar mendidik rakyat supaya lebih memahami sistem berkerajaan bukan sebaliknya mengelirukan pendapat umum.