MENGADAKAN PRU MEMANG TAK SESUAI, TAPI MENUKAR PM KEPADA ANWAR TINDAKAN PALING SESUAI


 Berbanding semua penyelesaian yang ada yang menjadi perbualan ramai untuk mengatasi kemelut dalam negara ketika ini, melantik Perdana Menteri baru yang dipercayai memiliki sokongan majoriti adalah pilihan paling munasabah sekali.

Dengan sokongan majoriti telah tiada sehingga sanggup mahu menggantung Parlimen melalui perisytiharan darurat untuk melepaskan tengkuknya agar dapat kekal sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tidak logik lagi untuk terus dikekalkan menerajui kerajaan.

Jika beliau terus kekal, masalah politik negara akan berlarutan lagi dan di masa-masa akan datang, mungkin entah apa-apa lagi helah mabuk kuasa akan dilakukannya.

Begitu pun, dalam suasana kes Covid19 makin menaik ketika ini, mengadakan PRU untuk memilih kerajaan baru tentu saja tidak begitu sesuai.

Sama seperti PRN Sabah baru-baru ini yang puncanya adalah disebabkan Musa Aman dengan sokongan Muhyiddin melalui Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Politiknya, Nardin Awang yang cuba menjatuhkan Shafie Apdal sehingga DUN dibubarkan, adalah dibimbangi kes Covid juga akan mencanak naik jika PRU diadakan pada waktu ini.

Untuk itu, pilihan yang terbaik ialah menukar Perdana Menteri yang tiada lagi sokongan kepada pemimpin lain yang dipercayai memiliki majoriti.

Tidak seperti mengadakan PRU yang berpotensi menyebabkan meningkatnya kes Covid19, sebaliknya menukar Perdana Menteri tidak membawa risiko yang sama.

Ini kerana pertukaran itu boleh dilakukan tanpa memerlukan sebarang perhimpunan awam, kempen atau sebagainya, tetapi cukup melalui nasihat Agong dan Majlis Raja-Raja agar Muhyiddin yang tiada lagi sokongan majoriti melepaskan jawatannya dengan segera.

Seterusnya, Agong boleh memilih calon Perdana Menteri baru demi menyelesaikan kekalutan ini daripada berterusan.

Dalam hal ini, adalah dirasakan Agong tidak perlu lagi melakukan proses temubual terhadap semua Ahli Parlimen sebagaimana yang dilakukan baginda sebelum ini.

Proses kali ini memadai dengan menyambung semula majlis mengadap ketua-ketua parti dan beberapa Ahli Parlimen tertentu yang telah menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim, tetapi ditangguhkan kerana perintah PKPB.

Dalam majlis mengadap Agong pada 13 Oktober lalu, Anwar telah mempersembahkan bukti sahih mengenai sokongan yang dimilikinya daripada pelbagai pihak untuk membentuk sebuah kerajaan baru yang benar-benar memiliki majoriti.

Berikutan mengadapnya Anwar itu, antara ketua parti yang telah ditetapkan untuk mengadap Agong ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Tetapi, semua majlis mengadap itu kemudian ditangguhkan oleh Istana Negara atas alasan adanya perintah PKPB yang berkuatkuasa sehingga 27 Oktober.

Memandangkan Majlis Raja-Raja akan bersidang petang ini di Istana Negara untuk membincangkan apa yang diminta oleh Muhyiddin, bahawa adalah molek sementara permintaan darurat tidak dipersetujui oleh majoriti rakyat, perlantikan Perdana Menteri yang baru adalah suatu tuntutan yang pasti menggembira dan menceriakan seluruh negara.

Dengan pihak Istana Negara berkenan memanggil semula mengadap ketua-ketua parti yang tertangguh sebelum ini, maka keabsahan majorit yang didakwa dimiliki Anwar dapat disahkan.

Walaupun Zahid Hamidi baru-baru ini mengumumkan gencatan politik dan menyokong semula PN, tetapi sehingga ini beliau dan Najib Razak tidak pernah menafikan tentang surat sokongan kepada Anwar yang viral di media sosial itu.

Dengan tidak menafikan perkara itu, bermakna Zahid Hamidi dan Najib masih tidak mengubah sokongannya kepada Anwar.

Selain mungkin ramai yang mahu menjadi Perdana Menteri, tetapi siapakah selain Anwar yang berani mengadap Agong untuk mempersembahkan mereka ada sokongan majoriti?

Yang terpenting sekali, oleh kerana yang menang pada PRU14 lalu adalah PH dan menjadikan Anwar yang kini dipercayai ada sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri lantaran disokong oleh Zahid Hamidi, Najib dan beberapa Ahli Parlimen yang lain, selain dengan sokongan parti-parti dalam PH, secara tidak langsung mandat rakyat yang dicuri oleh Muhyiddin dengan menubuhkan PN dapat dikembalikan semula.


 (Shahbudindotcom 25/10/2020)



No comments: