Susulan kecelaruan politik sejak beberapa hari lalu berikutan hasrat Muhyiddin Yassin mahu mendapat perkenan Agong untuk menguatkuasakan darurat, badan penyelidik Institut Darul Ehsan atau IDE telah tampil melakukan tinjauan umum.
Tinjauan yang diberi nama Rakyat Malaysia Bersuara/ Malaysians Speak” dibuat secara elektronik menerusi medium sebaran WhatsApp, Twitter, Facebook, Emel, laman sesawang dan Telegram yang dihubungkan kepada Sistem E-Survei IDE.
Ia melibatkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang bermula dari jam 4:00 petang hingga 12:00 tengah malam Sabtu, 24 Oktober 2020 iaitu selama 8 jam.
Sehingga jam 12:00 malam iaitu tempoh masa yang ditetapkan, seramai 51,147 orang responden (unique respondent) telah menyertai tinjauan pendapat tersebut.
Dua soalan ditanyakan – pertama, Adakah anda setuju dengan perisytiharan darurat? dan kedua, Apakah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia?
Bagi soalan pertama, 22.61 peratus responden memberi jawapan ya, manakala 77.39 peratus memberi jawapan tidak.
Bermakna, majoriti responden tidak setuju dengan cadangan darurat yang mahu dilaksanakan Muhyiddin.
Untuk soalan kedua pula, 32.49 peratus responden setuju Muhyiddin terus kekal sebagai Perdana Menteri, 49.80 peratus mahu Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri baru, manakala 17.71 lagi memilih agar dibubarkan Parlimen dan diadakan pilihanraya.
Ini bererti, majoriti responden lebih melihat penggantian Perdana Menteri kepada Anwar adalah pilihan terbaik bagi merungkai kemelut politik yang sedang melanda negara.
Walaupun tinjauan ini hanya melibatkan sekitar 52,000 responden, realitinya inilah suara hati sebenar rakyat Malaysia.
Di mana-mana saja – Facebook, Twitter, Grup Whatsapp, kedai kopi, lobi hotel, suri rumah membawang di tepi dapur, anak-anak muda sambil bermain PUBG dan sebagainya – itulah nada kecenderungan yang kedengaran dan boleh disimpulkan.
Semuanya tidak mahu darurat, tetapi mahu Perdana Menteri baru segera ditampilkan.
Dengan demikian, apa yang diharapkan, Majlis Raja-Raja yang bermesyuarat petang ini tidak lari daripada suara denyut nadi rakyat dalam keputusan yang bakal dibuat nanti. (Shahbudindotcom 25/10/2020)