KENYATAAN MEDIA BERSAMA BIRO GUAMAN DAN UNDANG-UNDANG ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA

 Image may contain: 2 people, text that says "PENGISYTIHARAN DARURAT GUGAT KESTABILAN POLITIK NEGARA YB Akmal Nasir Ketua AMK Malaysia CM Chiew Pengerusi Biro Guaman AMK Malaysia"


KENYATAAN MEDIA BERSAMA

BIRO GUAMAN DAN UNDANG-UNDANG ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA

24hb Oktober 2020

PENGISYTIHARAN DARURAT TANPA ASAS YANG MUNASABAH AKAN MENGHERET NEGARA INI KE KANCAH POLITIK YANG TIDAK MENENTU

Biro Guaman dan Undang-Undang ANGKATAN MUDA KEADILAN Malaysia amat memandang serius dengan laporan media pada 23.10.2020 bahawa Kerajaan telah memutuskan untuk memberi nasihat kepada Yang Di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat di negara kita. Pertama sekali, konsep "darurat politik" atau “darurat kesihatan” yang diwar-warkan oleh sebahagian ahli politik Perikatan Nasional (“PN”) TIDAK WUJUD sama sekali dalam Perlembagaan Persekutuan. Konsep ini cumalah satu naratif politik yang dijaja untuk mencapai agenda politik Kerajaan PN.

Sejarah di beberapa negara lain telah menyaksikan bahawa parti pemerintah yang tewas dalam pilihanraya bertindak mengisytiharkan darurat dan enggan menyerahkan kuasa dengan aman. Berbeza dengan mereka, setelah berakhirnya Pilihan Raya umum ke-14, peralihan kuasa telah berlaku dengan aman dan teratur di negara kita. Begitu juga ketika berlakunya krisis politik atau “Langkah Sheraton” yang diterajui oleh ahli-ahli politik PN sekarang, darurat tidak pernah dicadangkan mahupun menjadi salah satu pilihan kepada kerajaan PH.

Sesungguhnya, dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, keberlangsungan urusan politik dalam Parlimen termasuk undi tidak percaya atau berlakunya peralihan kuasa merupakan satu norma biasa dan sudah tentu bukan satu keadaan yang ditakrifkan sebagai darurat mengikut Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan. Kejayaan Kementerian Kesihatan Malaysia dan petugas barisan hadapan negara dalam menangani gelombang pertama penularan wabak Covid-19 juga telah menunjukkan bahawa kuasa dan perundangan yang sedia ada sudah mencukupi untuk mencegah krisis kesihatan ini.

Rancangan kerajaan untuk menuju kepada pengisytiharan darurat merupakan satu usaha terdesak kerajaan PN bagi menyembunyikan fakta bahawa kerajaan PN sememangnya tidak mempunyai keabsahan untuk memerintah. Kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) selama 8 bulan ini sering kali cuba menunda atau melambatkan urusan dalam Parlimen yang beliau khuatiri akan menguji kepercayaan ahli Dewan Rakyat kepada beliau selalu Perdana Menteri. TSMY berpeluang untuk membuktikan beliau mempunyai kepercayaan Ahli Dewan Rakyat melalui undi percaya, tetapi sehingga kini, tidak terdapat undi percaya yang diusulkan terhadap kepimpinan beliau seperti yang pernah dilakukan oleh Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussein bin Dato’ Onn.

Oleh itu, ianya jelas bahawa perancangan ini adalah semata-mata untuk mencapai agenda politik PN, bagi menyelamatkan riwayat politik mereka yang bakal tamat dalam masa terdekat. Maka, mereka sanggup menggunakan apa jua cara untuk kekal berpaut kepada kuasa eksekutif, biarpun terdapat risiko untuk mencetuskan krisis perlembagaan (constitutional crisis).

Seperti yang dinasihati oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan media Istana Negara pada 16 Oktober 2020, kami merayu kepada semua ahli politik untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik serta menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan mengikuti Perlembagaan Persekutuan dan tidak mengheret negara ini ke kancah politik yang tidak menentu.

Daripada sekumpulan peguam muda dan Biro Guaman dan Undang-Undang AMK:

1. Chiew Choon Man

2. Adi Zulkarnain Bin Zulkafli

3. Mohamad Farid Bin Abdul Rahim

4. Adrian Kumar Vendargon

5. Darwin Lim Chee Chien

6. Gavin Way

7. Alexandre Ong

8. Lau Yi Leong

9. Lee Jia Ying

 


No comments: