Akhirnya, apa beza Hadi Awang dan Al-Sisi?



Apabila Muhyiddin Yassin dilaporkan pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdul Aziz di Kuantan, pada petang 23 Oktober lalu, spekulasi mengenai usaha melaksanakan darurat semakin kuat dirasai.

Pelbagai pihak baik kerajaan dan pembangkang telah mengeluarkan kenyataan. Anwar Ibrahim menggambarkan ura-ura darurat itu sebagai langkah awal kepada pemerintahan diktator.

Bagi Presiden AMANAH, Mohamad Sabu pula menggambarkan darurat itu sebagai langkah akhir Muhyiddin untuk menyelamatkan kariernya sebagai Perdana Menteri.

Ramai maklum bahawa 13 Oktober yang telah berlalu memberi peluang kepada Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk kekal bernafas. Tetapi detik cemas akan kembali pada 2 November hadapan apabila sidang Parlimen kembali dibuka.

Dalam tempoh sidang Dewan Rakyat nanti, Belanjawan 2021 pula akan dibentangkan. Pada waktu inilah Muhyiddin berhadapan situasi getir.

Oleh kerana penguasaan majoriti yang dimilikinaya begitu tipis manakala Anwar Ibrahim pula mengumumkan Muhyiddin sudah hilang mandat sebagai Perdana Menteri, maka belanjawan kali ini akan menjadi penentu.

Jika pembentangan itu mendapat sokongan ahli Dewan Rakyat, selamatlah Muhyiddin tetapi jika sebaliknya, inilah situasi yang tidak ingin dilihat oleh ahli Parlimen Pagoh dan sekalian pengikut pengkhianatnya.

Tetapi berdasarkan kepada perkembangan semasa termasuklah ura-ura darurat, maka sukar ditepis lagi bahawa karier Muhyiddin memang berada di ambang maut. Daruratlah satu-satunya senjata yang dimiliki untuk kekal berkuasa sehingga habis penggal.

Tetapi jika darurat berlaku, maka apa yang pasti, kerajaan akan menggunakan kesempatan itu untuk menguatkan penguasaan politiknya dan melemahkan pembangkang secukup-cukupnya.

Pendek kata, darurat adalah tempoh untuk Muhyiddin berpolitik walaupun negara berdepan peningkatan mendadak Covid-19.

Soalan sekarang, di manakah suara Abdul Hadi Awang untuk mengulas spekulasi darurat politik Muhyiddin ketika ini?

Jika masih ingat, laman rasmi Pas, Harakahdaily pada 19 Oktober lalu telah menyiarkan kecaman Hadi Awang terhadap sikap segelintir pihak yang sibuk berpolitik semasa Covid-19 menular dalam negara.

Hebat sekali kecamannya seolah-olah dia tidak pernah bersekongkol dengan pengkhianatan melalui Langkah Sheraton pada Februari lalu iaitu pada waktu yang sama kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang bergelut menangani penularan Covid-19.

Begitu bersungguh-sungguh Hadi Awang menjayakan kempen politik khianat itu sehinggakan dua kali doktor nasihatkan supaya berehat pun tidak diendahkannya.

Apa yang penting dalam benak fikirannya pada waktu itu adalah merampas secara keji mandat rakyat yang dimiliki oleh PH.

Dia tidak peduli lagi apa itu demokrasi. Hadi Awang tidak kisah lagi bergelumang dengan pemain-pemain politik yang khianat kepada mandat rakyat, asalkan dia dapat menyekat PH, Anwar dan DAP daripada kekal berkuasa.

Tanpa segan silu, Hadi Awang sendiri mengakui bahawa Kabinet yang dibentuk Muhyiddin itu adalah ‘kerajaan tebuk atap’.

Sudah pasti apabila disebutkan pengkhianatan dan rampasan kuasa walau apa cara sekalipun yang membelakangkan semangat demokrasi, maka ia harus ditolak.

Dan antara contoh terbaik rampasan kuasa yang pernah berlaku adalah di Mesir semasa ditadbir Presiden Dr Mohamed Morsi. Pentadbiran tersebut memang diakui berdepan dengan pelbagai kelemahan kerana kurangnya pengalaman Morsi sebagai pemimpin negara.

Ditambah pula kedudukan Mesir yang berhadapan dengan musuh dari dalam dan luar, maka pengkhianatan memang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Akhirnya seperti dijangka, kudeta atau rampasan kuasa berlaku yang diketuai oleh Jeneral Abdul Fatah Al-Sisi. Apabila rampasan ini berlaku, seluruh dunia menyatakan bantahan dan kecaman.

Tidak terlepas memberi kecaman itu adalah Hadi Awang sendiri. Dalam satu kenyataan media yang disiarkan di laman Facebook beliau bertarikh 15 Ogos 2013 berjudul “Reaksi keras terhadap konflik terkini di Mesir”, Hadi Awang mengutuk kekejaman rejim tentera Al-Sisi.

Dia juga menggesa agar tindakan drastik diambil ke atas rejim tentera kerana merampas mandat daripada rakyat Mesir.

Diseru juga badan dunia dan serantau seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab agar turut mengecam Al-Sisi dan mengenakan tekanan diplomatik kerana kecurangan merampas kuasa daripada kerajaan Morsi yang dipilih secara sah.

Gesa Hadi agar kuasa dan mandat itu diberikan semula kepada Morsi yang berhak dan sebarang penyelesaian kepada konflik perlu mengikut lunas demokrasi tanpa campur tangan asing.

Sekarang, jika dibandingkan kudeta Al-Sisi dan Langkah Sheraton yang mana Hadi ada saham menjayakannya, di manakah bezanya? Adakah bezanya kerana tiada pertumpahan darah, tiada tentera dikerahkan dan sebagainya?

Walaupun perbezaan itu boleh diberikan tetapi apa yang pasti adalah kedua-duanya merampas kuasa daripada yang berhak. Hadi berhak membenci PH, Anwar, DAP malah Parti Amanah Negara (AMANAH).

Tetapi kebencian itu tetap tidak mungkin boleh dihalalkan dengan merampas kuasa seperti disumbangkan oleh Hadi. Demokrasi dan pilihan raya adalah landasan yang semua parti politik pilih sebagai medan pertarungan jantan, maka di sinilah kebencian itu boleh dituangkan sepenuhnya. Bukan dengan merampas kuasa.

Kini selepas puas melantak ghanimah jawatan sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah manakala barisan pimpinan Pas dilambakkan jawatan menteri, timbalan menteri, senator dan posisi dalam GLC, mengapa pula Hadi mula mengutuk pihak yang ingin merampas semula mandat miliknya?

Apakah Hadi sudah lupa bahawa Menteri Besar Kedah yang baharu adalah pemimpin Pas yang mengangkat sumpah selepas berjaya merampas mandat daripada PH ketika negara masih dilanda musibah penularan Covid-19?

Pada tempoh musibah yang sama, kumpulan pengkhianat daripada PN dan Barisan Nasional (BN) juga merancang untuk merampas kerajaan negeri Sabah tetapi berakhir dengan pembubaran dan disusuli Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September lalu.

Ketika agenda pengkhianatan ini berlaku, di manakah suara gesaan Hadi supaya kerja-kerja terkutuk ini dihentikan?

Maka, kini, tatkala gelombang ketiga Covid-19 menyaksikan peningkatan sehingga berisiko menjatuhkan kerajaan Muhyiddin, baru Hadi ingin bersuara?

Segalanya sudah agak terlambat. Untuk Hadi Awang, ingatlah; tiada pengkhianatan akan berakhir dengan aman melainkan hanya laknat.


No comments: