MAHATHIR PM KALI KE TIGA, MALAPETAKA BUAT MALAYSIA

 

Sebetulnya saya sudah agak malas untuk menulis berkenaan Tun Mahathir Mohamad kerana bagi saya, beliau sudah patut disejarahkan dan tidak perlu lagi untuk terus diperkatakan.

Untuk itu, bagi saya, tidak relevan lagi untuk saya menulis berkenaan dengannya.

Tetapi, setiap kali Tun Mahathir bersuara, ramai kawan-kawan terus meminta saya menulis dan memberi pandangannya tentang apa yang diperkatakannya sebagaimana saya kerap menulis mengenai beliau sebelum ini.

Tidak sedikit sebenarnya, setelah hilang kuasa, Tun Mahathir terus menceceh mengenai politik, tentang Muhyiddin Yassin, Anwar Ibrahim, Najib Razak dan pelbagai lagi.

Kepada saya, berikutan dirinya sudah tidak penting dan perlu dilupakan, tindakan Tun Mahathir berterusan menampilkan dirinya bersuara hanyalah untuk menarik perhatian umum agar dirinya tidak diabaikan begitu saja.

Hanya Najib yang kerap membalas balik apa yang diperkatakan Tun Mahathir terhadapnya, sebaiknya Muhyiddin dan Anwar hanya buat tak tahu saja cecehan orang tua itu.

Mengabai dan tidak nemperdulikan Tun Mahathir adalah pilihan yang wajar sebenarnya, bukan saja untuk saya tetapi juga bagi sesiapa yang mahu memastikan negara ini terus bergerak ke hadapan tanpa dibayangi awan hitam yang kelam.

Berikutan banyak kerosakan dan semua kemelut politik yang berlaku tidak henti-henti selepas beliau bersara pada 2003 dahulu dan berterusan sehingga kini pun disebabkan oleh permainan politiknya, apakah kita mahu negara ini terus tidak aman kerananya?

Lagi pula, ketika beliau masih memegang jawatan PM7 dahulu dan ketika itu saya mula mengesan kemungkinan janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim mahu dimungkiri dan dikhianati, saya adalah yang paling awal menghentam, mengkritiknya dan menggesanya mematuhi janji.

Malah, saya menghentam dan mengkitik beliau secara berterusan melalui ratusan artikel di blog, media sosial dan juga menerbitkan buku “Anwar PM8 – Janji Yang Mesti Ditepati pada Mei 2019 lalu.

Di peringkat awal, ada rakan-rakan tidak setuju dengan tindakan saya, tetapi apabila kemudian semakin jelas Tun Mahathir memang didapati mahu khianat dan tidak berpegang kepada janjinya, semakin ramai yang turut sama menghentam dan mengkritiknya.

Yang penting, akhirnya semakin ramai sedar Tun Mahathir memang ada niat sejak awal untuk mengkhianati Anwar dan mengkucar-kacirkan PH.

Orang lain, makin tua makin menuju kebaikan, tetapi beliau nampaknya semakin ingin mengisi hari-hari tuanya dengan dendam tak berkesudahan.

Selain itu, kepada saya juga, menulis tentang Tun Mahathir yang sudah tiada kuasa tidak lagi menimbulkan keghairahan apa-apa.

Dulu, saya ghairah menulis tentang Tun Mahathir kerana beliau adalah Perdana Menteri, begitu juga sebelumnya, saya ghairah menulis beribu artikel dalam blog, termasuk enam buah buku tentang Najib, adalah kerana beliau merupakan Perdana Menteri.

Setelah Najib hilang kuasa, saya jarang-jarang menulis tentangnya atau berkaitan skandal 1MDB.

Sekarang, menulis tentang Muhyiddin lebih memberi keghairahan, bukan saja kerana beliau adalah Perdana Menteri, tetapi juga disebabkan turut adanya ciri-ciri pengkhianatan dalam dirinya terhadap PH, ditambah lagi dengan kedegilannya untuk terus berpaut pada kuasa walaupun majoriti sudah tiada.

Sama seperti Najib dan Tun Mahathir yang saya banyak menulis sehingga kejatuhan mereka, Muhyiddin juga sebenarnya perlu dijatuhkan sama.

Cuma, sambil memenuhi permintaan kawan-kawan, kali ini saya ingin menulis sedikit tentang Tun Mahathir dan saya harap ini adalah tulisan panjang terakhir saya berkaitan beliau.

Selepas ini, eloklah kita sama-sama lupakan saja beliau.

Apabila timbul cadangan daripada Pejuang, parti yang ditubuhkan oleh Tun Mahathir sendiri agar beliau dikembalikan sekali lagi sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga, ini sebenarnya adalah cubaan paling gila yang pernah ada dalam sebuah negara yang merdeka.

Apakah kita tidak ada pemimpin lain sehingga asyik-asyik dia, lepas dia, dia, kemudian dia lagi?

Jika diperhatikan juga, cubaan menonjolkan semula Tun Mahathir ini hanya muncul selepas Anwar mengadap Agong untuk mempersembahkan sokogan majoriti yang dimilikinya yang kemudiian diikuti dengan Tengku Razaleigh turut dipanggil ke Istana Negara.

Selepas terdedah surat Tengku Razaleigh kepada Speaker berkaitan usul tidak percaya kepada Muhyiddin, Tun Mahathir dan semua Ahli Parlimen Pejuang kemudian menulis surat dengan maksud yang sama kepada Azhar Azizan Harun.

Adalah jelas bahawa kemunculan semula dan tiba-tiba Tun Mahathir ini bukan saja untuk menjatuhkan Muhyiddin mellalui usul tidak percayanya, tetapi juga untuk menyekat Anwar dan menghalang kemaraan Tengku Razaleigh daripada menjadi Perdana Menteri.

Anwar adalah sosok yang pernah dipecat oleh Tun Mahathir daripada UMNO kerana dilihat ancaman buatnya, manakala Tengku Razaleigh hampir berjaya menjatuhkannya pada pemilihan 1987 dan kemudian dihalang daripada menyertai UMNO yang dihidupkan semula.

Kedua-duanya adalah dendam lama Tun Mahathir, walaupun beliau pernah berbaik semula dengan mereka demi tujuan politiknya.

Ternampaknya kini Tun Mahathir mahu membunuh tiga mangsa – Muhyiddin, Anwar dan Tengku Razaleigh – dengan hanya membaling satu batu saja.

Walaupun menjatuhkan Muhyiddin adalah keperluan, bahkan dikira wajib kalau diambilkira kenaikannya sebagai Perdana Menteri juga melalui jalan khianat dan majoritinya kini pula sudah tiada, tetapi menjadikan Tun Mahathir sebagai penggantinya adalah suatu malapetaka buat kita semua.

Negara pasti akan berundur laju ke belakang, kacau-bilau serta kecelaruan seperti dilakukannya ketika berkuasa dalam tempoh 22 bulan era PH sebelum ini, besar kemungkinan akan bertambah dahsyat lagi.

Sanggupkah kita memilih celaru dan huru-hara, sedangkan yang diyakini memiliki majoriti dan kemampuannya pula tidak diragui – di peringkat antarabangsa dan dalam negara – sudah pun ada di depan mata?(Shahbudindotcom 21/10/2020)

No comments: