KEADILAN membuat keputusan
untuk mengemukakan tuntutan saman berjumlah RM10 juta di mahkamah terhadap
bekas naib presiden parti, Zuraida Kamaruddin.
Bendahari Agung KEADILAN, Lee
Chean Chung berkata saman itu dikemukakan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution
Ismail selaku Setiausaha Agung KEADILAN berdasarkan bon yang ditandatangani
oleh Zuraida pada 25 April 2018.
"Di bawah syarat-syarat
bon tersebut, Zuraida sedar bahawa parti telah menanggung perbelanjaan besar
untuk mempromosikan nama "PARTI KEADILAN RAKYAT" dan penggunaan logo
dan lambang parti.
"Zuraida juga sedar bahawa
parti membenarkan beliau untuk menggunakan logo dan lambang parti dan telah memberikan
nilai besar kepadanya yang melebihi Ringgit Malaysia Sepuluh Juta
(RM10,000,000.00).
"Zuraida juga bersetuju
akan membayar sejumlah RM10 juta kepada parti sekiranya dia mengundurkan diri
dari parti atau menyertai parti politik lain atau menjadi bebas," katanya
dalam kenyataan.
Chean Chung berkata, tuntutan
itu kini boleh dikemukakan setelah Zuraida bertindak keluar dari KEADILAN.
"Pada atau kira-kira 24
Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan dengan 10 Ahli Parlimen lain
mengumumkan pengundurannya dari parti tanpa meletakkan jawatan sebagai Ahli
Parlimen Ampang.
"Pada 24 Februari 2020,
Majlis Pimpinan Pusat (MPP) meluluskan resolusi untuk menghentikan keahlian
Zuraida dengan segera.
"KEADILAN menerusi peguam
telah mengeluarkan surat tuntutan bertarikh 7 Ogos 2020 yang menghendaki
Zuraida membayar sejumlah RM10,000,000.00 sesuai dengan syarat-syarat bon
tersebut," katanya.
Chean Chung bagaimanapun
mendedahkan Zuraida telah mengabaikan tuntutan tersebut, menyebabkan KEADILAN
bertindak mengemukakan tuntutan tersebut di mahkamah terhadap Zuraida pada 28
Sept 2020.
"Peguamcara parti telah
berusaha untuk menyampaikan surat-surat kepada Zuraida pada 30 September 2020
dan 1 Oktober 2020 tetapi tidak dapat melakukannya.
"Peguamcara parti juga
telah menulis surat pada 1 Oktober 2020 kepada Zuraida supaya melantik firma
peguam cara untuk menyelesaikan tuntutan saman itu bagi pihaknya,"
katanya.
Pada masa sama, Chean Chung
berkata KEADILAN akan turut mengemukakan tuntutan saman terhadap semua Ahli
Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah keluar parti dalam
masa terdekat.
"Selain Zuraida, parti
juga akan menuntut pembayaran bon dari 20 Ahli Parlimen dan ADUN yang menang
atas tiket parti tetapi telah mengundurkan diri untuk bergabung dengan parti
politik lain," katanya.