Sebaik saja Najib Razak dijatuhi hukuman bersalah dalam kes rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram melibatkan dana SRC International 28 Julai lalu, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya mengumumkan parti itu tidak akan menyertai Perikatan Nasional atau PN secara rasmi.
Sebaliknya, kata beliau, UMNO hanya akan bekerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) untuk menghadapi PRU15 akan datang.
Tindakan Zahid Hamidi itu dilihat banyak pihak sebagai tanda kekecewaan UMNO terhadap keputusan mahkamah melibatkan Najib serta kebimbangan dengan nasib dirinya yang juga berdepan lebih 80 kes, termasuk sebahagiannya sedang dalam perbicaraan.
Selepas itu, melalui pengumumam oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di laman sosialnya dua hari lalu, beliau memaklumkan, Pas turut sepakat dengan UMNO untuk tidak menyertai PN.
Katanya, keputusan bersama UMNO dan Pas itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk MN yang dihadiri kepimpinan kedua-dua parti.
Berdasarkan keengganan UMNO dan Pas menyertai PN, realitinya adalah mustahil untuk gabungan itu didaftarkan secara rasmi, meskipun Muhyiddin Yassin diketahui sangat ingin ia menjadi realiti.
Berbanding MN yang mana Bersatu turut dipelawa oleh UMNO dan Pas untuk menyertainya, Muhyiddin sebenarnya lebih selesa mendaftarkan PN dan semua parti yang bersamanya dalam kerajaan sekarang menyertainya sebagai komponen.
Ini kerana hanya melalui PN, beliau akan dianggap sebagai ketua, manakala jika Bersatu diterima sebagai ahli baru dalam MN, parti itu terpaksa berada di bawah UMNO yang lebih besar serta sudah diakui sebagai “abang besarnya”.
Sebab itu, isu penyertaan Bersatu ke dalam MN masih lagi tergantung dan tiada apa-apa perkembangan sehingga kini kerana Muhyiddin difahamkan tidak berapa selesa berada di dalamnya.
Tetapi, perkembangan terbaru memperlihatkan sementara UMNO dan Pas berpegang teguh dengan MN, soal pendaftaran PN sudah pun diuruskan dan ia kini berada di tangan RoS atau Pejabat Pendaftar Pertubuhan untuk menunggu kelulusannya.
Menurut Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Asari, pendaftaran PN telah dikemukakan kepada RoS pada minggu lalu dan keputusan mengenainya dijangka diketahui dalam masa terdekat ini.
“Permohonan mendaftarkan PN secara sah sudah dihantar kepada ROS minggu lalu.
“Keputusannya dijangka diketahui dalam masa terdekat,” ujarnya ringkas.
Dalam hal ini, oleh kerana Zahid Hamidi telah memaklumkan bahawa UMNO tidak akan menyertai PN dan Jawatankuasa Induk MN turut membuat keputusan bahawa parti itu dan Pas tidak akan bersama dalam gabungan tersebut, adalah jelas usaha mendaftarkan PN adalah semata-mata usaha Muhyiddin bersama Bersatu serta Geng Azmin Ali.
Cuma, apakah pendirian UMNO dan Pas akan terus kekal tidak mahu menyertai PN setelah ia didaftarkan secara sah nanti?
Atau UMNO dan Pas melalui MN, demi untuk kekal memegang jawatan dalam kerajaan, akan menjadi sebahagian komponen PN akhirnya?
Apakah penyertaan MN ke dalam PN juga nantinya mungkin ada kaitan sama dengan tolak ansur dalam kes mahkamah Zahid Hamidi? (Shahbudindotcom 11/08/2020)