MENTERI UNDANG UNDANG LOYAR BUROK,LEBIH RELA ISTERI PEMIMPIN PAS TERUS JADI ALAT TARUHAN POLITIK


Di Dewan Rakyat semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan hal ehwal undang-undang, Takiyuddin Hassan menggesa undang-undang anti lompat parti dikuatkuasakan di Pulau Pinang terlebih dahulu jika pembangkang benar-benar mahu perkara yang sama dilaksanakan di peringkat persekutuan.
Katanya, berikutan ada beberapa Adun di Pulau Pinang telah melompat parti dan undang-undang anti lompat juga sudah diluluskan di negeri itu, kerajaan Pulau Pinang harus memaksa mereka mengosongkan kerusi masing-masing.
“Saya mencadangkan agar Pulau Pinang memecat para Adun tersebut dan membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya ketika sesi penggulungan titah Yang Dipertuan Agong.
Walaupun berkelulusan undang-undang dan merupakan seorang lawyer, dengan berhujah demikian, Takiyuddin sebenarnya lebih sesuai digelar loyar buruk saja.
Sebagai orang yang berpengetahuan dalam hal undang-undang, beliau seharusnya sedar bahawa undang-undang di peringkat negeri tidak boleh mengatasi undang-undang di persekutuan.
Dalam hal ini, meskipun Pulau Pinang telah meluluskan akta anti lompat parti, undang-undang itu sukar berfungsi selagi undang-undang yang sama tidak dilaksanakan di peringkat pusat.
Jika dilaksanakan pun, Adun-Adun katak itu pasti akan membawanya ke mahkamah dan potensi untuk mereka menang adalah cerah.
Sebab utama Adun-Adun Pulau Pinang berani melompat parti adalah kerana mereka menyedari hakikat tersebut.
Cuba jika undang-undang anti lompat turut berkuatkuasa di pusat, beranikah mereka melompat?
Oleh yang demikian, tindakan kerajaan Pulau Pinang tidak menguatkuasakannya adalah suatu keputusan yang tepat.
Tetapi, dengan meluluskan akta itu, ia dengan jelas menunjukkan kerajaan Pulau Pinang mempunyai iltizam yang tinggi untuk membendung amalan tidak bermoral wakil-wakil rakyat melompat parti.
Seharusnya, kerajaan pusat ada perasaan malu dalam hal ini dengan tidak berlengah lagi memperkenalkan undang-undang anti lompat parti di seluruh negara setelah kerajaan Pulau Pinang meluluskannya.
Baik kerajaan BN, PH atau atau PN sekarang, semuanya enggan melaksanakan undang-undang anti lompat kerana sebagai kerajaan pusat, mereka berasa ada kelebihan untuk mengukuhkan kerajaan tanpa undang-undang anti lompat parti itu.
Sebab itu dahulu Tun Mahathir Mohamad ketika era BN pernah memperkenalkan undang-undang tersebut, namun kemudian menarik baliknya semula lantaran beranggapan suatu kerugian jika terus dikekalkan.
Malangnya, ketika menerajui negara sekali lagi melalui PH, Tun Mahathir sendiri telah dihukum kerana ketiadaan undang-undang anti lompat itu.
Bukankah jika undang-undang anti lompat ada, Tun Mahathir tidak boleh ditumbangkan melalui Langkah Sheraton?
Begitu pun, untuk mengharapkan PN menguatkuasakan undang-undang anti lompat parti, ia memang sesuatu yang mustahil kerana mereka sendiri pun berjaya membina kerajaan melalui amalan lompat parti.
Yang memalukan dalam hal ini adalah jawapan loyar buruk Takiyuddin di mana gesaannya agar Pulau Pinang menguatkuasakan lebih dulu undang-undang tersebut tidak lebih hanya memperlihatkan keinginannya tidak mahu undang-undang anti lompat dilaksanakan di peringkat pusat.
Jawapan loyar buruk itu hanya menunjukkan keinginannya menolak undang-undang anti lompat sehingga sanggup meletakkan dirinya seolah-olah begitu naif berkaitan bidang kuasa undang-undang negeri dan pusat.
Lebih memalukan, ada pula yang memuji dan mengucapkan syabas kepada Takiyuddin atas jawapan loyal buruknya itu.
Mentang-mentanglah satu kem, jawapan loyar buruk pun dapat sanjungan!!
Sebagai pemimpin Pas, Takiyuddin sepatutnya sedar partinya sendiri menolak amalan lompat parti dengan sejak sekian lama menetapkan semua wakil rakyatnya bersumpah baiah dengan tergugur talak terhadap isteri jika berbuat demikian.
Untuk itu, melalui jawatannya sekarang, Takiyuddin sepatutnya memainkan peranan lebih utama untuk menjadilan undang-undang anti lompat parti sebagai kenyataan, sekaligus membebaskan para isteri pemimpin Pas daripada berterusan dijadikan mangsa pertaruhan politik para suami dan Pas tidak perlu lagi mewajibkan sumpah baiah terhadap wakil-wakil rakyatnya.
Namun, dengan berloyar buruk di Parlimen, Takiyuddin terus membuatkan isteri para pemimpin terseksa jika serta kekal diperalatkan. 
(Shahbudindotcom 11/08/2020)


No comments: