Masuk politiklah wahai mufti
Zola
Maszlee Malik aku hormat. Dia tak bercakap saja. Semasa jadi ahli akademik dia kritik banyak pihak. Kecenderungan politiknya jelas. Akhirnya dia terjun dengan kedua-dua belah kakinya di dalam dunia politik.
Dia tahu risiko masuk politik. Namun dia memilih untuk jadi anak jantan. Bertarung biarlah dalam gelanggang. Kalau bersilat di luar gelanggang, tunjuk buah kilas, buah jatuh tapi tak masuk gelanggang, itu bukan anak jantan.
Sebab itu aku saran Mufti itu terjun dunia politik sepenuh masa. Dia tak suka DAP, boleh masuk PAS atau UMNO. Kalau tak mahu masuk mana-mana parti politik sedia ada, tubuh parti baru. Dia kan dah ada pengaruh?
Kalau tak mahu masuk parti politik, boleh masuk pilihanraya sebagai calon bebas. Bertarung secara anak jantan dalam gelanggang. Kalau pakai jubah agama, kemudian nak bermain politik, agama tak terbela, tujuan politik pun tak kesampaian.
Mufti itu asal orang Penang. Balik ke sana, gerakkan kesedaran politik Melayu di sana, lawan DAP, tumbangkan parti itu. Kalau berpeluang jadi Menteri, haramkan DAP, barulah lelaki sebenar.
Atau, kalau dia berhasrat untuk berkedudukan di Perlis, masuk PAS Perlis atau masuk UMNO terus. Mulakan gerak kerja politik sekarang. Letak jawatan Mufti. PRU akan datang bertanding kerusi DUN, kalau menang jadilah MB Perlis.
Orang ramai pun tahu, Mufti bukan lagi Mufti, tapi ahli politik. Sebaliknya kalau Mufti masih jadi Mufti, tapi sembang deras bab politik, tak manis pada pandangan umum kerana institusi Mufti perlu neutral, bukan memihak.
Kalau Mufti masuk keluar gua, kemudian komen hujung-hujung telinga isu-isu politik, institusi Mufti tercemar dan orang ramai pun marah. Kecenderungan kepada mana-mana parti politik hak masing-masing, tapi institusi Mufti bukan hak peribadi.
Sebagai rakan, aku nasihatkan Mufti Perlis, tanggalkan jubah Mufti, pakailah seragam politik. Jom kita bergelumang dengan dunia politik. Jadi anak jantan sepenuhnya. Kasihani dan hormatilah warga Perlis.