Isu PIA: Politik balas dendam hukum Pulau Pinang


Penantian sehingga selepas 2023 sebelum membuat keputusan tentang pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) tidak lain tidak bukan, ialah sebenarnya pembatalan projek tersebut.
Mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini jelas merupakan politik balas dendam untuk menghukum Pulau Pinang kerana tidak sehaluan dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Jawapan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong di Parlimen semalam bahawa kerja-kerja pembesaran dan menaiktaraf PIA telah dihentikan sementara menunggu kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang dijangka hanya akan siap selepas tiga tahun pada 2023, amat mengecewakan dan menidakkan kepentingan rakyat Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menambah, beliau telah mengumumkan projek pembesaran PIA dalam Belanjawan 2020 di Parlimen tahun lalu kerana PIA telah menjangkaui kapasiti asal iaitu 6.5 juta penumpang setahun dengan kedatangan 8.325 juta penumpang pada 2019.
Jelas beliau, ia adalah satu peningkatan 6.9% berbanding 7.7 juta penumpang pada 2018.
Projek pembesaran PIA tersebut ujarnya, dijangka bernilai RM800 juta di mana peringkat awalnya merupakan pembesaran kapasiti penumpang daripada 6.5 juta kepada 12 juta.
“Mengapa PN perlu menunggu sehingga selepas 2023 untuk membuat keputusan?
“Menggunakan alasan kesan pandemik Covid-19 ke atas industri pelancongan dan sektor penerbangan untuk menangguhkan projek ini sehingga selepas 2023 adalah seolah-olah seperti kerajaan PN menjangka pandemik Covid-19 ini masih belum ditangani dalam masa tiga tahun akan datang.
“PN mestilah memberi penjelasan apa asas kepada andaian liar mereka bahawa pandemik Covid-19 masih tidak akan ditangani sehingga selepas 2023,” soalnya. 

No comments: