SEMUA RAKYAT MALAYSIA..ANDA JANGAN LEKA...COVID MENYERANG KEMBALI JIKA TIDAK BERHATI HATI




Dari Dr Noor Hisham
Semoga kita ambil maklum tentang keadaan semasa.
COVID-19, 24 Julai 2020:
Daripada 21 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 5 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan 3 warganegara Malaysia dan 2 bukan warganegara. 5 kes import tersebut adalah dari negara:
• Singapura (1 kes);
• Australia (1 kes);
• Filipina (1 kes);
• Pakistan (1 kes); dan
• Qatar (1 kes).
Daripada 16 kes penularan di dalam negara, 13 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala 3 kes adalah di kalangan bukan warganegara.
Kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara (3 kes) adalah seperti berikut:
• Johor: satu (1) kes daripada Kluster Warga Emas Kluang;
• Pahang: dua (2) kes daripada Kluster Elsa.
Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia (13 kes) pula adalah seperti berikut:
• Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: 2 kes daripada Kluster PUI Ramnad;
• Selangor: 1 kes daripada Kluster PUI Al Khobar;
• Johor: 1 kes daripada Kluster Warga Emas Kluang;
• Pahang: 1 kes daripada Kluster Elsa;
• Sarawak: 8 kes daripada Kluster Sentosa.
Terdapat 5 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di ICU di mana 2 kes memerlukan bantuan pernafasan. Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
3 KLUSTER BAHARU DILAPORKAN HARI INI
KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat tiga buah kluster baharu yang telah dilaporkan pada hari ini, iaitu:
1. Kluster Elsa
Kes indeks kluster ini adalah seorang bukan warganegara (iaitu kes ke-8839) yang merupakan seorang krew kapal. Beliau mempunyai sejarah perjalanan menaiki kapal terbang dari Filipina dan transit di Korea. Beliau telah masuk ke Malaysia pada 16 Julai 2020 untuk mula bekerja. Saringan COVID-19 di Filipina pada 14 Julai 2020 dilaporkan negatif. Beliau kemudiannya menaiki kapal terbang ke Kuantan dan bermalam di sebuah hotel di sana, sebelum dibawa ke kapal untuk menjalani kuarantin di atas kapal setelah mendapat kelulusan Jabatan Laut.
Lima hari kemudiannya iaitu pada 20 Julai 2020, beliau mula mengalami gejala. Beliau dikesan positif pada 22 Julai 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang.
Setakat ini seramai 108 kontak rapat telah disaring di mana 3 dikesan positif COVID-19 (yang melibatkan 2 bukan warganegara dan 1 warganegara), 48 negatif dan 57 masih menunggu keputusan.
2. Kluster PUI Ramnad
Kes indeks kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang telah pulang ke Malaysia dari negara India pada 6 Julai 2020 (iaitu kes ke-8817). Saringan COVID-19 di KLIA didapati negatif. Beliau telah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan mula mengalami gejala ringan pada 19 Julai 2020. Saringan hari ke-13 HSO didapati positif dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Setakat ini seramai 18 orang kontak rapat telah disaring dan mereka terdiri daripada 6 ahli keluarga dan 12 penumpang pesawat. Daripada jumlah ini 2 dikesan positif COVID-19 (iaitu kedua-dua adalah ahli keluarga kes indeks), 13 negatif dan 3 masih menunggu keputusan.
3. Kluster PUI Al Khobar
Kes indeks kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang telah pulang ke Malaysia dari negara Arab Saudi pada 10 Julai 2020 (iaitu kes ke-8803). Saringan COVID-19 di KLIA didapati negatif. Beliau telah menjalani HSO bersama 5 orang ahli keluarga di rumah keluarga mereka, di mana kelima-lima mereka ini juga telah pulang dari Arab Saudi bersama kes indeks menaiki pesawat yang sama. Namun rumah keluarga tersebut turut didiami oleh 2 orang ahli keluarga yang lain.
Kes indeks mula mengalami gejala pada 18 Julai 2020 dan dikesan positif COVID-19 pada 20 Julai 2020. Susulan itu, 7 orang ahli keluarga beliau telah disaring di mana 1 dikesan positif COVID-19 (beliau tidak pulang dari Arab Saudi) dan 6 negatif.
Ingin dimaklumkan bahawa ketiga-tiga kluster ini adalah merupakan penularan di dalam negara yang telah berpunca daripada kes import. KKM menggesa pengembara yang telah pulang ke Malaysia dan sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah untuk mematuhi sepenuhnya kepada syarat yang telah ditetapkan. Begitu juga ahli keluarga kepada individu di bawah HSO juga perlu turut patuh dengan memastikan terdapat penjarakan yang selamat dengan individu yang menjalani HSO. Individu yang didapati melanggar perintah ini akan dikenakan tindakan.
KKM menyeru kerjasama semua pihak adalah diharapkan agar kita dapat sama-sama memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia.



No comments: