Slogan kempen produk Malaysia tidak harus ditukar



Adakah slogan ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang digunakan dalam kempen kesedaran tentang minyak sawit keluaran Malaysia menyasarkan warga Malaysia atau masyarakat antarabangsa?
Itu soalan mantan Menteri Industri Utama, Teresa Kok kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali.
Teresa berkata, sekiranya ia merupakan kempen yang menyasarkan masyarakat antarabangsa, maka slogan bagi kempen penerangan sawit tersebut haruslah kekal ‘Love MY Palm Oil’ atau ‘Sayangi Sawitku’.
“Ia tidak haruslah bertukar hanya kerana pertukaran kerajaan ataupun pertukaran menteri demi menunjukkan kesinambungan mesej di masyarakat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebelum ini dilaporkan menjenamakan semula kempen ‘Sayangi Sawitku’ kepada nama baharu iaitu ‘Sawit Anugerah Tuhan’.
Jelas Teresa, meskipun berasa lega kempen kesedaran minyak sawit keluaran Malaysia yang dimulakan beliau diteruskan kerajaan hari ini, namun beliau kesal apabila slogan ‘Sayangi Sawitku’ diubah kepada ‘Sawit Anugerah Tuhan’.
Sawit sememangnya anugerah tuhan kepada dunia, katanya, tetapi apabila kempen ‘Sayangi Sawitku’ dilancarkan, ia tidak menyasarkan warga Malaysia sahaja.
Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Seputeh itu, beliau juga menjalankan kempen yang menyasarkan warga asing dan masyarakat antarabangsa dari Malaysia, iaitu ‘from Malaysia, we speak to the world’.
“Itu sebab kami mewujudkan slogan dalam bahasa Inggeris ‘Love MY Palm Oil’, MY bermaksud Malaysia. Slogan dalam bahasa Inggeris ini untuk ‘sambil menyelam minum air’,” ujarnya.
Beliau memberitahu, minyak sawit dan produk sawit merupakan eksport negara yang ketiga besar dan cabaran yang dihadapi oleh industri sawit Malaysia adalah persepsi negatif dunia terhadap minyak tersebut.
Tambahnya, industri sawit dan kerajaan tidak mempunyai dana yang cukup untuk menjalankan publisiti dan penerangan tentang minyak sawit kita di seluruh dunia.
Oleh itu, beliau menjelaskan, pihaknya melancarkan kempen ‘Love MY Palm Oil’ untuk memberi penerangan tentang sawit dari Malaysia ke seluruh dunia.
“Sekiranya tidak berlakunya pertukaran kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) ke Perikatan Nasional (PN) dalam Februari tahun ini, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan saya memang telah berancang untuk mengadakan kempen ‘Sayangi Sawitku’ di seluruh negara bersama dengan program Tahun Melawat Malaysia 2020 oleh Kementerian Pelancongan.
“Ini adalah supaya pelancong asing yang datang ke Malaysia boleh mendapat maklumat tentang kebaikan sawit di Malaysia,” katanya. 



No comments: