Umno Johor buli Pas, tidak pedulikan Bersatu


Umno Johor buli Pas, tidak pedulikan Bersatu




Umno bukanlah rakan kongsi yang jujur dalam usaha gabungan antara Muafakat Nasional (MN) mahu pun Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Muhammad Taqiuddin Cheman berpendapat Umno di negeri itu membelakangkan semangat setiakawan dalam pelbagai gabungan baharu itu.


Baru-baru ini Pas Johor, ujarnya, telah meluahkan rasa terpinggir dan menyatakan untuk tidak bersependapat dengan keputusan dari peringkat pusat.

“Sebelum ini pun Umno seperti tidak langsung mahu berunding dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menggerakkan agenda politik di Johor.

“Yang terbaru mangsanya adalah Pas yang dilihat tersepit dalam kekuatan parti majoriti terbanyak dalam PN kerana tidak diraikan dengan baik oleh Umno.


“Kita mendapat maklum bahawa pihak akar umbi Pas memang dilihat kurang berpuas hati dengan prestasi rakan kongsi mereka Umno dalam mengendalikan pembahagian kuasa dalam kepimpinan kerajaan negeri,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Terdahulu, penggerak Pas di Johor dilapor kurang berpuas hati dengan prestasi yang disepakati dalam MN di negeri itu.


Pas yang mempunyai seorang Adun di Johor sebelum ini dipercayai telah dijanjikan dengan pelbagai jawatan di dalam kerajaan.


Walau bagaimanapun, sehingga hari ini difahamkan hal tersebut masih sukar menjadi kenyataan.

Terus dibuli

Mengulas lanjut, Taqiuddin yang juga ADUN Pulai Sebatang berkata, gabungan MN di Johor juga akan menjadi rapuh sekiranya Pas hari ini terus dibuli oleh rakannya dari Umno.

“Sekuat mana gabungan tersebut pasti akan menjadi rapuh apabila ada pihak di dalam MN hanya memikirkan soal kepentingan diri sendiri berbanding kejujuran dan setiakawan.

“Umno tidak perlu menuding orang lain sedangkan diri mereka sendiri masih membawa pemahaman ‘abang besar’ dalam sebuah gabungan.

“Ternyata hari ini Pas dan Bersatu hanya dijadikan sebagai alat untuk Umno terus kembali berkuasa dalam mentadbir negeri mahupun negara ini sahaja.


“Selain itu antara mangsa lain adalah masyarakat Melayu yang termakan dengan dakyah yang dilakukan oleh mereka,” ujar Taqiuddin lagi.