Pembangkang dinafikan hak mencalon nama Speaker
Pengguguran dan pelantikan Yang di-Pertua (Speaker) baharu Dewan Rakyat semalam merupakan detik hitam kepada sejarah demokrasi berparlimen Malaysia.
Pakatan Harapan (PH) mengecam pelantikan Speaker baharu tanpa membenarkan Pembangkang menamakan calon mereka sendiri selepas berlaku kekosongan apabila Speaker sedia ada, Tan Sri Mohamad Ariff Yusof diundi secara majoriti untuk ditamatkan perkhidmatannya.
“Selepas usul mengosongkan jawatan Yang di-Pertua, usul menamakan seorang Yang di-Pertua baharu menampakkan sikap kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang seharusnya lebih demokratik.
“Hujah Pembangkang agar masa 14 hari diberikan untuk menamakan calon tidak diendahkan. Malah calon Yang di-Pertua (kaedah pelantikan Speaker) juga tidak dipersetujui (dilakukan) secara undian di dalam Dewan.
“PH amat kesal dengan sikap kerajaan hari ini yang kelihatan mahu meletakkan Parlimen di bawah telunjuk eksekutif. Parlimen sebagai badan perundangan (legislatif) wajib bebas dari sebarang unsur kawalan dari luar. Jika Parlimen dikawal pihak eksekutif, maka demokrasi negara dalam keadaan yang amat tergugat,” kata kenyataan yang dikeluarkan PH.
Kenyataan itu juga mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana melakukan duluan (precedent) yang buruk di kalangan Negara-Negara Komanwel dalam hal penggantian Speaker di pertengahan penggal.
Menurut PH, peristiwa hitam semalam menempatkan nama Malaysia sebagai satu-satunya negara dalam gabungan berkenaan yang menggugurkan Speaker secara yang amat kontroversi.
“Ini bukanlah satu duluan yang membanggakan, lebih-lebih lagi apabila prosesnya tempang sedemikian rupa.
“Kami berasa kesal dengan perbahasan usul (mengganti Speaker) tersebut, di mana hanya empat orang pembahas dibenarkan berbahas dengan masa hanya 10 minit seorang.
“Bagi suatu usul yang bersejarah, seharusnya lebih banyak masa diperuntukkan bagi mendengar sepenuhnya hujah kedua-dua belah pihak,” kata mereka lagi.
Oleh itu PH memberi amaran kepada Kerajaan PN, tingkah laku songsang tersebut akan menguatkan tekad Pembangkang untuk membentuk kerajaan persekutuan baharu bagi mengambilalih pentadbiran PN di Putrajaya.
“Kejadian semalam yang merupakan titik hitam buat demokrasi di Malaysia mengukuhkan iltizam PH untuk memastikan mandat rakyat dikembalikan ke tempatnya,” akhiri kenyataan itu.
Kenyataan bersama berkenaan dikeluarkan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (KEADILAN), Datuk Wira Dr Hatta Ramli (Amanah) dan Loke Siew Fook (DAP).
Perlantikan Speaker baharu Dewan Rakyat semalam kecoh apabila Pembangkang mempertikaikan kekosongan hanya wujud selepas Speaker sedia ada diundi keluar.
Oleh itu Pembangkang meminta tempoh 2 minggu untuk mengemukakan calon, bersesuaian dengan peraturan mesyuarat Parlimen.
Bagaimanapun kerajaan PN tidak melayan permintaan tersebut dan Speaker baharu Datuk Azhar Harun segera mengangkat sumpah di tengah-tengah bantahan berpuluh-puluh Ahli Parlimen Pembangkang.
Bagaimanapun kerajaan PN tidak melayan permintaan tersebut dan Speaker baharu Datuk Azhar Harun segera mengangkat sumpah di tengah-tengah bantahan berpuluh-puluh Ahli Parlimen Pembangkang.