TAK ADA KELEBIHAN PUN JADI PEMBANGKANG HEBAT DI PARLIMEN



Terbaca beberapa posting yang melintas berkaitan beberapa pihak yang kagum dengan ucapan orang itu dan orang ini di parlimen. Pembahas dipuji kerana perbahasannya bagus sebagai pembangkang. Hujahnya sebagai pembangkang mantap dan hebat.

Aku pohon maaf. Bagi aku, sehebat mana pun perbahasan, sebagai pembangkang, ucapan perbahasan itu tidak kemana-mana. Tercatat dalam hansard, dibaca, dikaji, dikagumi, tapi hasilnya apa?

Ya... ucapan itu menjawab, mendedah, mencerah, tetapi kemana kesudahan jawapan, pendedahan dan pencerahan itu? Selesai ucapan, ada perubahan apa-apa? Ada orang ambil kisah ucapan itu?

Sebab itu, Umno tak ada pembahas hebat semasa mereka jadi pembangkang. Mereka kacau, bising dan ganggu saja. Adalah seorang dua yang ucapannya bagus. Tapi menjadi pembahas yang bagus sebagai pembangkang bukan fokus Umno.

Fokus Umno ialah dapatkan kuasa. Atau istilah lain, dapatkan nombor. Pas sudah begitu lama melahirkan pembahas yang bagus. Akhirnya mereka sedar pembahas yang bagus tidak kemana-mana pun. Apa yang Pas buat ialah bersekongkol dengan Umno untuk ambil kuasa.

Kenapa Pas buat begitu? Sebab Pas tahu, jadi pembahas yang bagus sebagai pembangkang tidak membawa parti itu kemana-mana. Suara sebagai pembangkang, sebagus mana pun ibarat suara peluru kapur saja. Bunyinya kuat, tapi tak ada sesiapa yang ambil peduli sangat pun.

Ya... kita mungkin syok dengan fakta, data dan gaya pembahas. Kita pun kata, nah terduduk kerajaan dengan hujah pembangkang. Tapi untuk apa? Apa yang terhasil dengan ucapan itu?

Sebab itu, aku beritahu terus-terang, aku dah malas ikuti siaran langsung parlimen dan dengar ucapan pembangkang yang dikata hebat itu. Aku dah jelak dengar hujah hebat pembangkang. Telinga aku dah tepu dengan hujah bagus pembangkang.

Mengapa jelak? Sebab, dalam keadaan boleh jadi pembahas yang hebat bagi pihak kerajaan, untuk apa pilih jadi pembahas hebat sebagai pembangkang?

Zola


No comments: