Gabungan negarawan beri keyakinan pulihkan semula mandat rakyat


Oleh Hannah Yeoh
(Ahli Parlimen Segambut)
Berbekalkan 5 tahun pengalaman sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor, saya fikir saya sudah mempunyai cukup kekuatan mental untuk duduk mendengar perbahasan usul menyingkirkan Speaker dan Timbalannya di Parlimen semalam. Ternyata saya tersilap.
Selepas sesi penangguhan semalam, saya pulang ke rumah dan terduduk hampa kerana saya baharu sahaja melalui satu situasi yang amat mengecewakan melihat bagaimana kita terpaksa menghadapi malapetaka peralihan kuasa yang tidak pernah terjadi sebelum ini kepada ketua sesebuah institusi penggubal undang-undang tertinggi di dalam negara.
Antara punca yang menyebabkan berlakunya kekecohan terhadap proses tragis semalam ialah:
(1) usul untuk menyingkirkan Speaker (walaupun beliau tidak melakukan kesalahan) dan usul tersebut tidak langsung diberikan apa-apa alasan;
(2) usul ini dikemukakan dengan memberi hanya 10 minit kepada dua pemimpin Pembangkang untuk dibahaskan;
(3) selepas pemecatan Speaker, anggota Pembangkang tidak pula diberi kesempatan untuk menamakan calon Speaker yang baharu; dan
(4) Speaker baharu dilantik tanpa sebarang pengundian dijalankan.
Hansard Parlimen akan merekodkan keseluruhan proses ini dan hanya terdapat sedikit sahaja maklumat yang diberikan oleh Perdana Menteri (selain membaca usulnya sendiri dan kemudian menyerahkan tugasnya kepada Menteri Undang-Undang untuk menjawab soalan Pembangkang).
Empat Menteri yang mewakili UMNO, GPS dan Bersatu, Wee Ka Siong (MCA) dan Saravanan Murugan (MIC) hanya duduk menonton dengan diam manakala Najib Razak, Hadi Awang dan Zahid Hamidi membisu tanpa mengeluarkan sepatah perkataan pun ketika mereka menyaksikan demokrasi dan kebebasan Dewan dirampas oleh Eksekutif.
Sebaliknya, mereka memperalatkan ahli parlimen yang mendapat habuan jawatan dalam GLC sebagai penyokong kerajaan dengan menjerit dan mengejek Ahli Parlimen Pembangkang kami yang cuba menyampaikan hujah. Malah mereka ini tanpa henti mencelah dengan tidak sopan kepada hampir semua orang di blok Pembangkang termasuk kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.
Sebelum ini saya merasakan teori gabungan negarawan ini mampu dijayakan. Semalam terbukti ianya benar malah memberikan kita keyakinan bahawa apa yang diperlukan untuk mengambil alih dan untuk mencabar pemerintahan PN yang memalukan ini adalah kekuatan gabungan Anwar, Shafie dan Mahathir.
Mereka telah bersatu dengan satu tujuan yang sama, membantah pemecatan Speaker dan mempertahankan betapa pentingnya mengikuti proses yang sewajarnya di Parlimen. Walaupun mendapat jeritan kosong dan ejekan keras daripada pihak lawan, mereka kekal tenang dan terus mempertahankan betapa pentingnya mempunyai seorang Speaker yang bebas dan sebuah Parlimen yang tidak berpihak.
Ini memperlihatkan dengan jelas bagaimana mereka ini masih mampu berdiri teguh di tengah-tengah kekacauan yang kuat sebagai negarawan yang dihormati di seluruh Malaysia.
Sebagai Ahli Parlimen DAP, saya melihat sendiri perjalanan persidangan yang kontroversi ini dan berbangga menyaksikan ketiga-tiga negarawan ini berada di blok yang sama, berada di pihak saya, di pihak kami, di pihak rakyat bagi menyelesaikan kerja yang tertangguh yang telah dimulakan semenjak tahun 2018 untuk melakukan reformasi di Malaysia.
Ini adalah satu lagi bukti kepada dunia dan yang lebih penting kepada rakyat Malaysia yang telah menonton perjalanan persidangan Dewan yang mulia ini, bagaimana untuk membezakan antara negarawan dan mereka yang berpura-pura.