MUHYIDDIN TERUS TERCEMAR, LANGSUNG TIDAK BOLEH DIBANGGAKAN


Pembuangan Speaker Parlimen yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara dan kemudian disusuli dengan perlantikan Speaker baru yang tidak mengikut peraturan merupakan satu lagi titik hitam dalam era kerajaan tebuk atap pimpinan Muhyiddin Yassin.
Hakikatnya, oleh kerana Mohamad Ariff Md Yusoff belum habis tempoh perkhidmatan sejak dilantik pada 2018 lalu dan beliau pula telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang, tiada alasan kewajaran untuk Muhyiddin mengemukakan usul membuangnya.
Lihat bagaimana PH tidak membuang Speaker Dewan Negara, SA Vigneswaran yang dilantik BN apabila ia berjaya menjadi kerajaan pada 2018 dahulu.
Harus difahami kedudukan Speaker Parlimen atau Speaker Dewan Negara bukan macam ketua kampung yang perlu ditukar apabila kerajaan bertukar tangan.
Lebih-lebih lagi kerana pertukaran kerajaan bukan melalui pilihanraya, menukar Speaker hanya mencemarkan sistem demokrasi yang kita amalkan.
Seharusnya perkhidmatan Mohamad Ariff perlu dikekalkan sehingga tamat tempohnya jika benar Muhyiddin seorang pemimpin yang benar-benar adil, berjiwa besar dan memikirkan kepentingan negara.
Tetapi, sebagaimana yang kita perhatikan, Muhyiddin tiada kekuatan moral untuk memimpin negara ini dengan jiwa besar dan hati yang murni.
Beliau hanya memikirkan kedudukannya walaupun dengan cara yang tidak sewajarnya dan menggadai segala-galanya.
Beliau bagaimanapun dimalukan apabila hanya memperolehi sokongan 111-109 iaitu kelebihan dua undi saja berhubung pertukaran Speaker itu.
Ini jelas menunjukkan Muhyiddin tidak mempunyai majoriti yang mantap dalam kerajaannya, itu pun setelah melonggokkan mereka dengan habuan jawatan serta kedudukan yang menghakis sumber kewangan negara.
Sejak hampir lima bulan menjadi Perdana Menteri, yang kita nampak hanya wang keluar yang dibelanjakannya saja, sedangkan usaha memulihkan ekonomi dan membawa pelaburan masuk langsung tidak kelihatan.
Apakah semua ini belum cukup untuk menyedarkan Muhyiddin bahawa beliau tiada kekuatan sama sekali?
Selepas Mohamad Ariff berjaya dibuang sebagai Speaker, perlantikan Azhar Azizan Harun sebagai penggantinya pula seharusnya perlu melalui usul dan undian bersetuju atau tidak di kalangan Ahli-Ahli Parlimen terhadap pemilihannya.
Bagaimanapun, dengan alasan hanya namanya saja yang ada dicalonkan sebagai Speaker, Azhar terus ditabalkan untuk jawatan tersebut.
Ini adalah proses yang tidak betul. Memang pihak pembangkang tidak ada mengemukakan nama lain untuk dinamakan sebagai Speaker kerana mereka sebelum itu mempertahankan kedudukan Mohamad Ariff.
Tentulah tidak masuk akal untuk pembangkang mengemukakan nama lain sedangkan mereka mempertahankan Mohamad Ariff sebagai Speaker.
Dalam hal ini, oleh kerana Mohamad Ariff dibuang melalui undian, maka seharusnya perlantikan Azhar juga mesti dilakukan melalui undian setuju atau tidak di kalangan Ahli-Ahli Parlimen?
Kenapa ia tidak dilakukan?
Sebabnya tidak lain adalah kerana kerajaan tidak yakin Azhar akan mendapat undi yang mencukupi setelah melihat undian membuang Mohamad Ariff sebelum ini hanya mendapat 111-109 saja
Berdasarkan latar belakang Azhar yang liberal dan beberapa tulisannya menentang hudud serta mempertikai hukum, jika diadakan undian, besar kemungkinan beliau tidak mampu memenangi undian.
Jika tidak menang, bagaimana kedudukan kerajaan sedangkan Mohamad Ariff sudah pun diundi untuk dibuang?
Sudah tentunya akhirnya kerajaan akan berada dalam ketidaktentuan dan dilema yang berpanjangan.
Lantaran bimbang kemungkinan itulah menyebabkan Azhar terus ditabalkan sebagai Speaker tanpa sebarang undian dan tidak mengikut peraturan.
Sebaik dilantik dan menjalankan tugasnya, tugas pertama Azhar ialah menghalau keluar Khalid Samad daripada Parlimen dan kemudian mengeluarkan kenyataan beliau tiada kuasa untuk mendahulukan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.
Akhirnya difahami sepenuhya perlantikan Azhar hanyalah untuk menjaga kepentingan politik Muhyiddin semata-mata, walaupun ia menjadikan kedudukan Perdana Menteri terus tercalar dan tercemar.
Menjadi kerajaan dengan cara yang tercemar, mengurus kerajaan banyak melakukan kerja-kerja tercemar dan mempertahankan kerajaan dengan melantik Speaker juga dengan cara yang tercemar.
Di mana kita boleh berbangga dengan Muhyiddin? (Shahbudindotcom 15/07/2020)



No comments: