MGF08102018_CERAMAH-MEGA-PH_09-1-681x454

KUALA LUMPUR – Tempoh enam bulan sebagai Perdana Menteri tidak akan membolehkan Tun Dr Mahathir membuat pembaharuan terhadap ekonomi.
Bagi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah tiba masanya rakyat negara ini bergerak ke hadapan.
“Pada saya, kami (Dr. Mahathir) telah menjadi PM (Perdana Menteri) dua kali, ini masa untuk bergerak ke hadapan.
“Saya menekankannya ia bukannya mengenai personaliti, ia mengenai persoalan peluang untuk memulakan permulaan baharu untuk negara ini,” katanya kepada rangkaian berita, CNA ketika ditanya sama ada beliau bersetuju untuk bekerjasama dengan Dr. Mahathir menjadi Timbalannya.
Sebelum ini, Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tetapi mahu Anwar menunggu sehingga enam bulan bagi memberi laluan kepada Dr Mahathir.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Presiden PAN, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, kedua-dua parti itu konsisten menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri sejak 1998 dan akan terus berbuat demikian.
Mohamad dan Guan Eng berkata, perjalanan politik telah mengambil masa 22 tahun, justeru mereka mampu menunggu enam bulan lagi untuk melihat Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10.
Kenyataan kedua-dua pemimpin itu dikeluarkan susulan keputusan PKR yang menolak cadangan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri bagi mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika pakatan itu berkuasa semula.
Anwar berkata, beliau sedia berbincang dengan Dr. Mahathir untuk mewujudkan jawatan Menteri Kanan untuk bekas Perdana Menteri itu sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.
“Menteri Kanan atau Menteri Mentor ala Lee Kwan Yew, saya terbuka untuk berbincang,” ujarnya.
Tambah beliau, apa yang penting ialah kerajaan baharu perlu komited melakukan pembaharuan struktur.
Ditanya tentang pilihan raya umum mengejut, beliau yakin PH akan kembali berkuasa jika ia diadakan.
“Saya optimistik, kami mempunyai isu pothetical, UMNO dan Pas bermakna majoriti, ia tidak berfungsi begitu,” ujarnya sambil menambah apa yang diperlukan ialah sistem demokratik dan kebijaksanaan rakyat untuk kembali berkuasa.