FAHAMAILAH DERITA DAN SENGSARA ANWAR



Dalam deretan musuh politik Tun Mahathir Mohamad, yang paling derita dan sengsara ialah Anwar Ibrahim.
Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, Najib Razak dan Muhyiddin Yassin adalah antara mereka yang pernah dimusuhi dan bermusuh dengan Tun Mahathir.
Ada yang diaibkan melalui serangan media, diseret ke mahkamah, dipenjara di bawah ISA dan pelbagai tekanan lain lagi.
Tetapi, dalam semua itu, Anwarlah yang paling sengsara dan derita – dipecat, diaibkan melalui media, ditangkap dibawah ISA, diseret ke mahkamah, dipenjara dan dipukul hampir setengah mati dengan tangan digari dan matanya ditutup.
Setelah melalui derita yang panjang – atas nama perjuangan – Anwar sedia memaafkan dan berdamai dengan Tun Mahathir untuk tujuan yang lebih besar iaitu sama-sama menumbangkan UMNO dan BN pada PRU 2018.
Keceriaan berjaya menumbangkan BN dan menjadikan PH sebagai kerajaan tidak membawa ceria yang panjang, asasnya ialah janji peralihan kuasa kepada Anwar telah dipermain dan dilengah-lengahkan sehingga kumpulan pengkhianat berjaya mengambil kesempatan untuk menumbangkan kerajaan.
Tun Mahathir kemudian kembali “gila kuasa” untuk menjadi Perdana Menteri semula, walaupun perletakan jawatannya sebelum ini dilakukan tanpa berunding dengan PH dan menolak juga nasihat Yang Dipertuan Agong agar tidak jangan berbuat demikian.
Berikutan kedudukannya makin mengecil dan terpencil sekarang ini serta sudah terpecat daripada Bersatu yang ditubuhkannya sendiri, sama seperti untuk menumbangkan UMNO dan BN pada 2018 dahulu, kali ini untuk menjatuhkan Muhyiddin, sekali lagi sokongan dan bantuan Anwar juga yang ditagihnya.
Anwar bagaimanapun sehingga ini tetap berkeras untuk tidak bekerjasama dengan Tun Mahathir serta enggan menyetujui Ahli Parlimen Langkawi jtu diangkat sekali lagi buat kali ketiga sebagai Perdana Menteri.
Anwar berkata, pengalaman yang panjang menyebabkan beliau dan partinya curiga untuk memberikan ruang sekali lagi kepada Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, meskipun dengan janji hanya selama enam bulan sebelum menyerahkan jawatan tersebut kepadanya.
Apatah lagi dalam percaturan terbaharu ini, kata Anwar, beliau dikehendaki menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri di bawah Tun Mahathir yang disifatkan sebagai kesukaran maha besar untuk ditanggung.
“Nak suruh saya derita berapa lama lagi, sudahlah,” ujar bellau ketika bersiaran langsung di laman Facebooknya malam Ahad lalu.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, beliau dan PKR telah memberi kepercayaan dan peluang kepada Tun Mahathir sebelum ini selain merundingkan pelbagai perkara dengan bekas Perdana Menteri itu.
Pengalaman tersebut, katanya, menyebabkan beliau curiga apabila diminta sekali lagi untuk memberi peluang dan ruang kepada Tun Mahathir yang dikatakan boleh mendapat jumlah ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.
Beliau turut mendedahkan, perasaan curiga itu turut menghantui rakan-rakan dalam PH apabila mereka mengusulkan pelantikan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri ke-9 perlu melalui proses dokumentasi lengkap termasuk menurunkan tandatangan serta terikat dengan beberapa syarat yang jika tidak dipatuhi, maka Ahli-Ahli Parlimen akan menarik balik sokongan mereka.
Katanya, dalam mesyuarat yang beliau sendiri pengerusikan, kesemua pemimpin bersetuju namanya dicalonkan sebagai Perdana Menteri, malah menurut Anwar, persetujuan itu dilafazkan dan didengar sendiri oleh beliau.
“Ini keputusan dan kami minta Tun Mahathir bersetuju, tetapi beliau tidak bersetuju dan perkara ini kita hujahkan.
“Saya kata hampir 24 tahun sudah menjadi Perdana Menteri, bagilah orang lain ikut giliran.
“Mula-mula dia minta enam bulan dan dalam mesyuarat berikutnya minta tambah jadi setahun dan apabila perkara ini ditekankan oleh Shafie Apdal, Tun Mahathir akhirnya setuju dengan tempoh enam bulan.
“Dan dia tak nak tolak ansur langsung dalam hal itu,” kata Anwar.
Menurut Anwar lagi, beliau percaya jika Tun Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri untuk tempoh enam bulan, keadaan tidak akan berubah dan berbalik semula kepada soal “ini dasar Mahathir dan itu dasar Anwar” sehingga boleh menggagalkan hasratnya untuk memperjuangkan ekonomi rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Kawan-kawan kata, “kami mahu saudara jadi Perdana Menteri tetapi laluan tak mudah kerana kita perlu jumlah, ada yang percaya Tun Mahathir boleh dapat tetapi  sampai kini belum dapat. Jadi kita beri dokongan kepada Tun Mahathir, selepas itu baru saudara diangkat,” katanya
Anwar juga menepis tuduhan bahwa beliau dan PKR merupakan pengkhianat apabila menolak pencalonan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-9 jika mandat rakyat berjaya dikembalikan semula kepada PH kelak.
Katanya, apa yang berlaku adalah perbezaan pendapat di mana beliau hanya mahu melakukan yang terbaik untuk rakyat dan menuntut supaya mandat rakyat dikembalikan.
Beliau juga percaya jika Dr Mahathir diberi peluang sekali lagi, biar pun untuk tempoh enam bulan, perkara-perkara seperti rasuah, kronisme dan mengkayakan golongan tertentu tidak akan dapat dihapuskan.
“Khianat ini tidak timbul, orang yang bagi kipas kepada pengkhianat itulah pengkhianat,” katanya mengungkit semula Langkah Sheraton yang bukan bermula seminggu dua, tetapi diatur lama sebelum itu lagi.
Kesimpulannya, di mana salahnya jika Anwar terus menolak untuk bekerjasama dan menyetujui Tun Mahathir dicalonkan sekali lagi sebagai Perdana Menteri?
Fahamilah derita dan sengsara yang pernah ditanggung Anwar sebelum ini!! (Shahbudindotcom 23/06/2020)