PETALING JAYA: Peralihan kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim selepas 6 bulan sekiranya Pakatan Harapan kembali membentuk kerajaan akan dijanjikan secara bertulis.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam kenyataan bersama berkata serahan jawatan perdana menteri itu akan “didokumenkan secara bertulis”, “ditandatangani semua pemimpin parti”, dan “diumumkan secara terbuka”.
Kenyataan ini menjawab keputusan PKR yang menolak pencalonan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri gabungan itu, dengan Anwar sebagai timbalannya, dengan peralihan kuasa selepas 6 bulan – “opsyen kedua” yang dibentangkan di mesyuarat majlis presiden 30 Mei lepas.
“Opsyen pertama”, iaitu Anwar sebagai perdana menteri dan anak Mahathir, Mukhriz sebagai timbalan, dikatakan tidak mendapat sokongan sekutu PH, Warisan.
Lim dan Mohamad menjelaskan mereka “konsisten” menyokong Anwar sebagai perdana menteri tetapi pilihan realistik untuk berjaya pada masa ini adalah menggabungkan kekuatan PH, kelompok penyokong Mahathir, dan Warisan.
“Walaupun Mahathir, Warisan, dan PKR tidak dapat saling bersetuju, semua parti dalam PH, Warisan, dan kelompok Mahathir mesti mencari titik persamaan,” kata mereka.
Lim dan Mohamad turut menyanggah dakwaan “gila kuasa” selepas mengemukakan “laluan yang realistik”.
Katanya lagi, DAP dan Amanah berusaha keras sepanjang 3 bulan lalu untuk mencari titik persamaan yang dapat diterima semua pihak.
“Malangnya, usaha itu belum berjaya,” katanya.
“Kami berharap PKR dan Mahathir, bersama-sama Warisan tidak akan semakin menjauh bahkan terus merapat dan bersatu-padu.”