IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini meminta pemimpin mematuhi sepenuhnya perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas dan menjadi teladan kepada rakyat.
“Sultan Nazrin turut menyeru agar mereka yang berada di peringkat kepimpinan mempamerkan sebaik contoh teladan kepada rakyat jelata dengan mematuhi sepenuhnya PKP,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Perak, Abd Rahim Mohamad Nor menerusi satu kenyataan.
Abdul Rahim berkata, Sultan Nazrin turut bertitah supaya rakyat bersedia berkorban untuk satu tempoh yang diperlukan demi kesejahteraan jangka panjang dalam menghadapi pandemik Covid-19.
“Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim peka dan memahami kesusahan serta kerumitan yang dihadapi rakyat ketika mematuhi arahan PKP, terutama bagi yang bekerja atau berniaga secara harian yang putus mata pencarian dan pendapatan disebabkan perintah tersebut,” kata Abd Rahim.
Abd Rahim berkata bersempena Ramadan ini, Sultan Nazrin turut menasihati umat Islam agar memahami, menghargai dan membantu segala usaha serta penat lelah petugas barisan hadapan yang meletakkan diri dalam bahaya untuk menangani penularan serta merawat pesakit Covid-19.
“Sultan Perak amat memahami ikatan dan sentimen umat Islam semasa Ramadan, jika menurut tradisi melakukan pelbagai aktiviti ibadah secara beramai-ramai bertujuan mengimarahkan masjid dan surau,” katanya.
Abd Rahim berkata Sultan Nazrin bertitah agar umat Islam kekal menjalankan pelbagai ibadah pada bulan Ramadan dengan melakukannya bersama keluarga di rumah masing-masing.
Beliau berkata Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut menzahirkan rasa dukacita kerana majlis berbuka puasa untuk meraikan rakyat di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar yang menjadi kelaziman setiap kali Ramadan tidak diadakan tahun ini sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19.
Pada masa sama, katanya Sultan Nazrin, Raja Muda Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah pada tahun ini juga tidak berangkat untuk berbuka puasa serta bersolat di masjid di seluruh daerah sepanjang Ramadan.
Menurut Abd Rahim, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam dan turut mengajak rakyat berdoa semoga keadaan kembali pulih seawal mungkin bagi membolehkan kehidupan berjalan seperti biasa.