PKP: Penduduk bimbang terputus bekalan makanan, harap bantuan kerajaan

PKP: Penduduk bimbang terputus bekalan makanan, harap bantuan kerajaan

Penduduk semakin tertekan akibat serangan Covid-19 lebih-lebih lagi bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti di Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Selayang.
Penduduk di ibu negara itu dilaporkan terpaksa merayu kepada kerajaan untuk membenarkan kedai runcit dibuka selepas PKPD dikuatkuasa sejak 20 April lalu.
Seorang warganegara Myanmar berkata, penduduk mula berasa bimbang bakal kelaparan disebabkan kesukaran mendapatkan bekalan makanan untuk keluarga.
Dengan keadaan di Pusat Bandar Utama yang kini dikelilingi kawat berduri, dia memberitahu, rasa cemas yang dihadapi penduduk ketika ini boleh menyebabkan sesetengah individu berusaha untuk melarikan diri dari kawasan berkenaan.
“Sekiranya anda memahami perasaan kelaparan tanpa makanan, anda akan memahami bahawa apa sahaja boleh berlaku.
“Suasana di dalam ini sangat tegang saat ini. Bahkan boleh menyebabkan pergaduhan dan pembunuhan hanya untuk mendapatkan bekalan makanan,” katanya seperti yang dilaporkan satu portal berita.
Warganegara Myanmar itu juga mendakwa, situasi lebih buruk terjadi di Taman Sri Murni di mana lif dan tangga di kawasan berkenaan dikunci untuk mengelakkan penduduk keluar dari rumah.
Dia juga mendakwa pernah cuba menghantar makanan kepada rakannya di flat tersebut namun mereka tidak dibenarkan keluar mengambil makanan tersebut.
Menurut seorang lagi warganegara Myanmar, bekalan beras di rumahnya hanya cukup untuk tempoh dua hari sahaja lagi dengan jumlah ahli keluarga seramai lapan orang.
“Malam ini kami akan mula membuat persiapan untuk bulan Ramadan. Saya tidak dapat membayangkan apa makanan sahur kami sehingga akhir tempoh PKP ini,” katanya.
Malah dilaporkan, warganegara Myanmar itu juga mengatakan bahawa mereka tinggal di tingkat 12 dan tidak tahu apa yang berlaku di luar.
“Kami tidak dapat melihat apa yang berlaku di luar, kami tidak dibenarkan keluar.
“Mereka sekurang-kurangnya harus memberitahu kami apa perancangan seterusnya dan bagaimana untuk menyelesaikan masalah makanan ini,” katanya.
Sementara itu, keadaan lebih menyedihkan berlaku apabila penduduk di Pakan, Sarikei terpaksa mengambil masa selama 40 minit hanya untuk ke mesin ATM yang terletak sejauh 44 kilometer di bandar Sarikei.
Ketiadaan mesin ATM di daerah itu menjadikan situasi lebih kritikal sepanjang tempoh PKP ini kerana penduduk Pakan terpaksa pergi ke Julau, Sarikei atau bandar Sibu bagi melakukan transaksi pengeluaran wang tunai.
Malah, mereka dilaporkan terpaksa beratur berjam-jam untuk mendapatkan kebenaran keluar daerah namun hanya 148 orang daripada 197 orang yang beratur diberi kebenaran bagi tujuan itu.
Situasi tersebut menyebabkan ramai yang mengeluh kerana terpaksa berdiri dan berbaris di bawah matahari terik menunggu giliran untuk mendapat memohon surat kebenaran keluar daerah semasa PKP.
Menurut Ketua Polis Daerah Julau, DSP Ismuni Umar, pihaknya telah meminta wakil rakyat di kawasan berkenaan untuk meminta pihak-pihak bank menyediakan khidmat mesin ATM di Pakan namun belum ada sebarang keputusan susulan permintaan tersebut.

No comments: