Antara agih bantuan dan jawatan, mana lebih penting?


Oleh Camelia K

Ketika semua rakyat Malaysia fokus dan memberikan kerjasama dalam usaha memerangi wabak Covid-19, ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab sibuk bermain politik untuk menjaga poket mereka sendiri dan sekaligus membelakangi kepentingan rakyat.

Bila digelar kerajaan pintu belakang, mereka marah. Tetapi tanpa mereka sedar, tindak tanduk mereka sedang diperhatikan rakyat dan rakyat juga tidak buta untuk menilainya.

“Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga”: peribahasa yang tepat untuk menggambarkan situasi semasa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tertubuh hasil daripada makan malam di Sheraton.

Malaysia hasil pimpinan PN kini sudah terkenal di seluruh dunia. Bukan sahaja kerana negara kita dipuji kecekapannya dalam menangani wabak Covid-19 — itu pun hasil kerja keras Pengarah Kesihatan kita, Datuk Dr Noor Hisham bersama petugas barisan hadapan — tetapi juga kerana “kepandaian” dan “kecerdikan” sesetengah menteri dalam mengeluarkan kenyataan sehingga dijadikan bahan jenaka di seluruh dunia. Bermula dengan Menteri Air Suam, diikuti dengan Menteri Doraemon, kini muncul kluster lawak baru iaitu Menteri Tik Tok.

Bukan itu sahaja, ketika ada rakyat yang terputus bekalan makanan di rumah kerana terkesan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) ini, kerajaan PN pula dilihat mengambil kesempatan dari fokus sebenar apabila sibuk mengagihkan jawatan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kepada Ahli Parlimen mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Takiyuddin Hassan sebelum ini dilaporkan berkata bahawa semua Ahli Parlimen kerajaan akan diberi tanggungjawab untuk mengendali GLC. Katanya, mereka yang tidak dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri akan dilantik mempengerusikan GLC.

Bukankah sepatutnya perihal kebajikan rakyat didahulukan dalam tempoh genting melawan penularan wabak ini? Banyak lagi perkara lain yang patut dititikberatkan seperti bagaimana mahu memastikan Malaysia bebas daripada Covid-19, bagaimana mahu bantu rakyat yang terkesan daripada pandemik ini, apakah cara untuk pastikan ekonomi negara kembali pulih seperti sedia kala. Bukannya berbahagi jawatan untuk kepentingan periuk nasi sendiri.

Malah ada dalam kalangan mereka sendiri pernah menentang sekeras-kerasnya perlantikan politik dalam jawatan-jawatan tertinggi GLC. Katanya hanya golongan profesional dan teknokrat yang layak memegang jawatan tersebut.
Tetapi, selepas menjadi kerajaan, golongan ini pula yang terhegeh-hegeh mahukan jawatan tersebut. Tugas utama Ahli Parlimen adalah berkhidmat untuk rakyat. Menang kerusi Parlimen tidak menjadi merit yang melayakkan lantikan jawatan tertinggi dalam GLC.

Bukan calang-calang orang yang layak dilantik untuk mengemudi sesebuah GLC yang bertaraf antarabangsa. Seseorang itu haruslah terdiri daripada sosok yang berpengalaman, berintegriti dan berkredibiliti berpandukan kelayakan dalam bidang profesional masing-masing.

Ini juga yang ditegaskan Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang menggesa kerajaan PN mengambil iktibar kegagalan tadbir urus GLC yang dikemudi oleh orang politik.

Gabungan NGO itu menolak Takiyuddin Hassan dengan menegaskan jawatan utama GLC tidak seharusnya dijadikan habuan politik dan GLC harus dipimpin oleh kumpulan teknokrat.

“Jawatan utama di GLC tidak boleh dijadikan habuan politik dan kerja pengerusi bukanlah menjadi pemantau tetapi pemangkin prestasi GLC tersebut.
“Sejarah telah membuktikan apabila politik dan perniagaan dicampur-adukkan, perniagaan meluru ke arah kehancuran.

“Semasa pemerintahan terdahulu, ramai anggota Parlimen dilantik menjadi pengerusi GLC seperti FGV, Tabung Haji, Felcra, Mara dan lain-lain. Hasilnya GLC-GLC ini mengalami kerugian besar dan terpaksa diselamatkan (bail out) oleh kerajaan,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Pemilihan calon yang tepat bagi mengemudi GLC yang juga merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara adalah sangat penting khususnya untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat.

Perlantikan jawatan GLC dalam tempoh negara sedang berdepan dengan krisis Covid-19 membuktikan bahawa kebajikan rakyat bukanlah fokus utama kerajaan PN. Bukankah perkara ini boleh dilaksanakan setelah krisis ini selesai?

Ada juga pihak yang berpendapat tindakan kerajaan PN ini sebagai satu ‘jenayah’ sedangkan rakyat sedang bergelut dengan masalah kewangan akibat pandemik Covid-19. Ketika ada rakyat yang terputus bekalan makanan kerana kehilangan pekerjaan dan hilang mata pencarian, kerajaan pula sibuk melantik ahli parlimen dengan jawatan bergaji lima angka.

Waktu seperti ini sepatutnya dihargai oleh pihak kerajaan untuk membuktikan komitmen mereka kepada rakyat, tetapi nampaknya mereka lebih memilih untuk mengagihkan jawatan daripada mengagihkan bantuan.


No comments: