*KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN*





23 April 2020

BERKENAAN SIDANG PARLIMEN 18 MEI

Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini telah membincangkan isu pembukaan serta sidang Parlimen pada 18 Mei 2020.

Majlis Presiden melihat wujudnya beberapa pelanggaran kelaziman dan Peraturan Mesyuarat Parlimen, berdasarkan notis mesyuarat bertarikh 17 April 2020.

Ini kerana Setiausaha Dewan Rakyat telah memaklumkan bahawa di dalam keadaan wabak Covid-19 sedang menular ini, mesyuarat Parlimen akan berjalan tanpa sesi pertanyaan Jawab Lisan, Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, serta apa-apa Usul daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Majlis Presiden mengingatkan bahawa fungsi Parlimen adalah sebagai tiang seri demokrasi, khususnya sebagai institusi semak dan imbang mengawasi perjalanan Kerajaan. Maka Pakatan Harapan membantah keras tindakan tidak membenarkan sesi Jawab Lisan dan Usul-Usul seperti yang dimaklumkan Setiausaha Dewan Rakyat.

Majlis Presiden turut sedar keadaan Perintah Kawalan Pergerakan dan penularan wabak Covid-19 tidak memungkinkan perjalanan mesyuarat Parlimen seperti sediakala. 

Namun, apabila dilihat Parlimen di United Kingdom, Kanada dan Singapura yang berjaya mengubah peraturan masing-masing untuk meneruskan sidang pada ketika wabak Covid-19 melanda, kami percaya usaha yang sama mampu dilakukan bagi Parlimen Malaysia.

Sebagai contoh, jumlah Ahli Yang Berhormat yang hadir boleh dikurangkan ke satu jumlah yang munasabah untuk mengekalkan penjarakan sosial tanpa menjejaskan korum mahupun peratusan parti masing-masing. Teknologi video dalam talian juga boleh diguna bagi Ahli-Ahli Yang Berhormat yang ingin mengambil bahagian di dalam perbahasan tanpa berada secara fizikal di dalam Dewan. Peraturan Mesyuarat perlu dipinda bagi tujuan di atas.

Majlis Presiden turut membantah had masa persidangan sehari, oleh kerana perbahasan dan perbincangan usaha Kerajaan membendung wabak Covid-19 wajib diberi tumpuan khusus Parlimen. Kami mencadangkan agar sidang diadakan selama sekurang-kurangnya dua hari selain hari perasmian Parlimen bagi membolehkan perbahasan dan perbincangan yang lebih mendalam. Perubahan ini boleh dilaksana Ketua Majlis berdasarkan Peraturan Mesyuarat 11(2).

Oleh yang demikian, Majlis Presiden akan menghantar wakil Pakatan Harapan untuk mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada kadar segera bagi membincangkan perkara-perkara di atas.

YB DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

πŸ‘†πŸΌπŸ‘†πŸΌ *Lagi sejarah baru cuba diukir oleh PN. Malaysia cuba diseret ke lembah tidak demokratik. Kebaculan apakah sedang berlaku pada pimpinan kerajaan pintu belakang Malaysia? Rakyat muak dengan keadaan ini? Sesungguhnya Allah SWT telah meletakkan ketakutan kedalam hati manusia2 yang melakukan khianat dan bersikap munafik*

No comments: