UMNO TERUS MENEKAN MUHYIDDIN, HANYA MAHU HIDUPKAN MN TAPI INGIN LUPAKAN PN


Minggu lepas, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menulis surat kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menuntut agar empat pemimpin parti itu di Sabah dilantik dalam jawatan kerajaan dan juga GLC.

Empat pemimpin yang dituntut diberikan jawatan itu ialah Pengerusi UMNO Sabah, Bung Mokhtar Radin sebagai Pengerusi Pembangunan Persekutuan Sabah; 
Mohamad Alamin sebagai timbalan menteri bagi mewakili UMNO Sabah; Ketua UMNO Tuaran, Abdul Rahman Dahlan sebagai Senator dan Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Yakubah Khan sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Labuan.

Semua tuntutan itu dilihat sebagai tekanan kepada Muhyiddin, lebih-lebih dengan desakan melantik Bung Mokhtar yang masih dalam perbicaraan di mahkamah sebagai Pengerusi Pembangunan Persekutuan Sabah.

Semalam pula, Zahid Hamidi mengumumkan pertukaran Pengerusi UMNO Selangor dengan melantik semula bekas Menteri Pertanian, Noh Omar ke jawatan tersebut bagi menggantikan Mat Nadzri Ahmad Dahlan.

Sebaik dilantik, Ahli Parlimen Tanjung Karang itu berazam untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional atau MN bagi tujuan merampas kerajaan Selangor dalam PRU15 akan datang.

Kenapa Noh hanya mahu memperkukuhkan MN dan bukan PN yang sedang menjadi kerajaan di peringkat pusat?

Apakah ini bermakna MN akan mengenepikan Bersatu begitu seja, walaupun kini mereka bersama-sama dalam kerajaan PN?

Sebelum ini, sebaik Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan membentuk barisan kabinetnya, Zahid Hamidi ada mengumumkan bahawa kerjasama dalam PN bukan antara parti, sebaliknya hanya melibatkan Ahli-Ahli Parlimen saja.

Ini bermakna, walaupun yang membentuk kerajaan adalah gabungan PN, tetapi UMNO tidak akan berada di dalamnya.

Pengumuman Zahid Hamidi itu dipercayai kerana UMNO tidak berpuas hati dengan lantikan wakil parti itu dalam kabinet yang dibuat oleh Muhyiddin.

Ia antaranya kerana Muhyiddin melantik mereka yang bukan dicadangkan oleh UMNO sebagai menteri serta memberi kementerian-kementerian yang kurang penting kepada wakil parti itu berbanding kedudukan calon daripada Bersatu dan kumpulan Azmin Ali.

Kemudian, bekas Perdana Menteri, Najib Razak turut memberi penjelasan yang lebih mendalam berhubung kedudukan UMNO dalan PN.

Melalui media sosialnya, beliau menulis:-
“Ramai yang mungkin tak faham bahawa kerajaan PN hari ini bukan kerajaan Muafakat Nasional ataupun kerajaan BN.

“Sebab itu, sokongan kita kepada kerajaan PN ada hadnya.

“Sebab itu Presiden, Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda UMNO tidak ada dalam kabinet kerajaan hari ini.

“Kita hanya pertahankan kerajaan PN ini sehingga PRU15.”

Berdasarkan semua rentetan ini, adalah jelas bahawa PN ini hanya akan dipertahankan sehingga ketibaan tarikh PRU15 saja.

Untuk itu, di manakah kedudukan PN dalam PRU15 akan datang?

Jika UMNO hanya mahu fokus kepada MN yang disepakatinya bersama Pas untuk PRU15 akan datang, bagaimana dengan kedudukan Bersatu nanti?

Apakah lantaran diketepikan UMNO dan Pas, maka Muhyiddin dan Bersatu akan bertanding bersendirian dalam PRU akan datang?

Adakah Bersatu akan bertanding di kawasan yang sama di mana MN meletakkan calonnya?

Atau mungkinkah jika UMNO terus memberi tekanan, Muhyiddin akan mencari rakan lain sebagai pilihan mengekalkan kedudukannya?

(ShahbudinHusin 23/04/2020)


No comments: