‘Berkorban jawatan MB, Umno ada hak jawatan ahli majlis dan ketua kampung’


‘Berkorban jawatan MB, Umno ada hak jawatan ahli majlis dan ketua kampung’

IPOH: ADUN Trong, Jamilah Zakaria menegaskan Umno Perak mempunyai hak untuk jawatan ahli majlis kerajaan tempatan dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau ketua kampung.
Menurutnya, Umno mempunyai kekuatan di bawah berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang hanya ada beberapa cawangan sahaja.
“Ya kami ada hak mempertahankan untuk ahli majlis dan ketua kampung kerana kekuatan kami di bawah, sedangkan PPBM (Bersatu) hanya ada beberapa cawangan sahaja.
“Adakah orang kampung nak diwakili oleh parti yang tiada cawangan di kampung?,” soal beliau.
Beliau berkata demikian dalam ruangan komen ‘posting’ laman Facebook Perak Today bertajuk “Umno dan DAP Perak umpama kembar seiras”.
ADUN Umno itu turut mempersoalkan adakah ini cara halus untuk membunuh akar umbi.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, walaupun Umno mempunyai kerusi yang sangat besar di Perak tetapi parti itu berkorban dan memberi ruang kepada Bersatu untuk menjadi menteri besar.
Namun katanya, selepas memberi jawatan menteri besar kepada Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu daripada bersatu, Umno hanya dilantik tiga orang sahaja jawatan Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Perak.
“Adakah masih nak dicop (Umno) Tamak?,” soal Ketua Puteri Umno Bahagian Bukit Gantang itu.
Oleh yang demikian, beliau menyeru agar Muafakat Nasional (MN) melihat sejauhnya kesan pecah perintah yang sedang berlaku ini.
Tegasnya, jangan sesekali lupa piagam yang termeterai semata-mata kerana telah diberi kuasa.
“Apa pun MN (Muafakat Nasional) juga perlu melihat jauh-jauh kesan pecah perintah ini, jangan bila diberi kuasa kita lupa pada piagam!
“Duduk dan bincang balik, kerana kita mereka jadi kerajaan!,” tegasnya.
Walaubagaimanapun, hasil carian Perak Insights mendapati, ADUN Umno itu telah memadam komen tersebut dan tidak lagi boleh diakses namun tangkap layar komen tersebut tular di laman sosial.

No comments: