Covid-19: Serlahkan peranan Parlimen



Pojok oleh Langgak

Ketika berlaku krisis seperti pandemik Covid-19, institusi Parlimen mempunyai peranan dan fungsinya. Institusi itu perlu menjalankan tanggungjawabnya untuk meneliti usaha kerajaan dalam menangani  impak kesihatan awam dan ekonomi disebabkan wabak itu. 



Parlimen adalah tiang seri kepada amalan demokrasi di negara ini justeru itu, adalah penting bagi Parlimen untuk diisytiharkan sebagai perkhidmatan penting negara. Dalam keadaan sekarang, pendekatan ‘lakukan apa sahaja’ perlu dilakukan untuk memenangi peperangan menentang musuh tidak kelihatan ini. 

Sebab itu, veteran DAP, Lim Kit Siang menyifatkan idea Parlimen bersidang untuk sehari pada 18 Mei depan sebagai amat mengejutkan dan bertentangan dengan prinsip demokrasi. 

Tambahan pula, dikatakan beberapa pelanggaran kelaziman dan Peraturan Mesyuarat Parlimen, berdasarkan notis mesyuarat bertarikh 17 April 2020.

Setiausaha Dewan Rakyat telah memaklumkan bahawa di dalam keadaan wabak Covid-19 sedang menular ini, mesyuarat Parlimen akan berjalan tanpa sesi pertanyaan Jawab Lisan, Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, serta apa-apa Usul daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Sepatutnya, Parlimen diberikan ruang seluas-luasnya untuk bersidang menerusi pendekatan-pendekatan atau prosedur-prosedur pencegahan jangkitan Covid-19 termasuk menitikberatkan penjarakan sosial di dalam dewan. 

Kemungkinan mengadakan sidang Parlimen kecemasan secara alam maya atau atas talian bagi membincangkan cara membendung penularan pandemik berkenaan dan kesannya ke atas ekonomi juga perlu diteroka. Berbekalkan kepesatan teknologi ketika ini, saya percaya Malaysia mampu menjadi pemangkin. 

Apa yang penting, proses demokrasi perlu berjalan sederap dengan usaha memerangi penularan pandemik berkenaan. Aspek kesihatan awam dan ekonomi negara perlu diperjuangkan secara seimbang. 

No comments: