Umno hanya tukang cukupkan korum kerajaan Azmin-Muhyiddin



Umno hanya tukang cukupkan korum kerajaan Azmin-Muhyiddin
Dua hari lepas TS Annuar Musa berkicau di Twitter mencadangkan supaya “Parlimen dibubarkan agar kerajaan dapat dibentuk melalui pintu depan, seperti yang dimahukan Muafakat Nasional.” Sejak semalam makin ramai MP/warlord Umno mula buat bantahan terbuka.
Sebenarnya dah menjadi rahsia umum bahawa:
1. MP Umno dan Pas hanya dijadikan pak turut kerajaan Muhyiddin-Azmin. Azmin yang dibuang oleh PKR diangkat sampai jadi TPM bayangan, menjadikan secara tidak langsung PPBM menguasai kerusi PM dan TPM. Tindakan Muhyiddin ini menghina peranan Umno yang ada 41 kerusi dan Pas dengan 18 kerusi. Harus diingat bahawa ahli parlimen PPBM yang asal cuma 13 orang (termasuk Tun Mahathir, Mukhriz, Dr. Maszlee, Syed Saddiq, Ir. Amiruddin, dan arwah Dr Md Farid). Jadi PPBM asal yang dibawa oleh Muhyiddin hanyalah 7 orang sebab 14 orang lagi MP PPBM adalah yang melompat dari Umno. Azmin cuma bawa 10 kerusi dan surprisingly 9 orang dapat jadi Menteri dan Timbalan Menteri, sorang lagi memang Timbalan Speaker.
2. Petanda bahawa Muafakat Nasional (Umno dan Pas) tidak akan melayan PPBM dan geng Azmin dalam PRU-15. MN dan BN tidak sanggup lagi berkongsi pertindihan kerusi Parlimen, kerana pertindihan kerusi antara Umno dan Pas pun sudah complicated.
3. Umno nampaknya tidak senang dengan penghinaan Muhyiddin terhadap Najib (Penasihat BN), Zahid, Tok Mat, Khaled Nordin, Mahdzir Khalid, Tengku Adnan, Tajuddin Rahman, Idris Jusoh, Shahidan Kasim, Bung Moktar, Ahmad Maslan, Asyraf Wajdi (Ketua Pemuda) dan lain-lain. Dengan tidak melantik mereka ini, Muhyiddin seolah-olah memberi gambaran bahawa nama-nama ini adalah liabiliti kerajaan, tidak lepas tapisan SPRM, dan yang penting sekali hanya backbenchers a.k.a tukang cukupkan korum kerajaan Muhyiddin-Azmin.
4. Sesama parti dalam PN berada dalam keadaan bersyakwasangka. Jika Muhyiddin-Azmin boleh meruntuhkan kerajaan PH dalam satu malam, tidak mustahil mereka juga boleh mempermainkan dan memanipulasi Muafakat Nasional (Umno dan Pas) dan memberi masalah kepada percaturan mereka dalam PRU-15.
5. Susunan kabinet Muhyiddin adalah untuk memerangkap Umno dan Pas. Jika kerajaan PN tidak dapat deliver, Umno dan Pas akan dikambinghitamkan. Contohnya ialah Annuar Musa yang sebelum ini sering mensasarkan usaha Khalid Samad dalam isu Kg Baru. Akhirnya Annuar Musa terpaksa menelan semua propaganda beliau sendiri, dan terpaksa menyelesaikan harga tanah Kg Baru yang katanya boleh dijual dengan harga RM2,000 sekaki persegi. Begitu juga Tuan Ibrahim yang dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar, yang terpaksa memainkan peranan besar di peringkat antarabangsa dan mengurus isu-isu pencemaran alam sekitar (seperti kes Pasir Gudang). Sementara menteri kereta terbang disimpan sebagai Tugas-tugas Khas, Menteri Undang-undang diberi kepada Takiyuddin (Pas) yang bergelut dengan kontroversi undang-undang hudud Pas. Malang sekali Presiden Pas yang diimpikan oleh ahlinya layak menjadi PM, langsung tak dipandang oleh Muhyiddin sekurang-kurangnya untuk Menteri Agama. Padahal masa nak setup kerajaan pintu belakang, Presiden Pas diusung ke sana ke mari jadi front liner siap jadi tekong baca doa.
Muhyiddin meletakkan orang Azmin untuk mengurus komunikasi dan media, melempar tanggungjawab kawalan harga barang kepada GPS dari Sarawak, dan meletakkan ‘kuda tua’ Umno sebagai Menteri Belia padahal dia boleh lantik Ketua Permuda Umno sebagai Senator (update: senator boleh maksimum 2 penggal je) berbanding ketua jargon PPBM.
Muhyiddin beri layanan istimewa untuk pakatan Hishamuddin-Ismail Sabri-Annuar Musa (berbanding geng Zahid) dari Umno. Tapi Hishamuddin yang digosip akan bertanding Presiden Umno pun diletak sebagai Menteri Luar, kerjanya melayan diplomat asing, tiada direct contact dengan program yang melibatkan rakyat. Ismail Sabri pulak jadi Menteri Pertahanan, juga satu kementerian yang tidak berinteraksi dengan orang ramai sebab kena fokus urusan tentera sahaja.
Annuar Musa yang menang undi 25 ribu pulak kena fokus Wilayah Persekutuan sahaja, berbanding Radzi Jidin yang dapat 6 ribu undi di parlimen yang sama dan baru 3 tahun join politik Malaysia dapat jadi Menteri Kanan. Di Wilayah Persekutuan ni masak la Annuar kena hadap kawasan urban dan 8 orang MP PH.
Pendek kata, kalau buat undi tak percaya, kemungkinan besar majoriti MP Umno akan buat undi protes bersandarkan percaturan MN dan BN untuk masuk PRU-15. Hanya ada satu pilihan untuk Muhyiddin iaitu nasihat YDPA untuk bubarkan Parlimen. Masa tu Umno dan Pas akan ucap ilalliqa ma’assalamah wa bittaufiq wannajah kepada PPBM dan kartel Azmin.

No comments: