Oleh AKMAL MANAF
March 13, 2020 2:51 pm
"Nak dibuang madu, sayang juga. Nak diluah terasa sedapnya, tak rasa pula racunnya. Apapun, kesan minum madu beracun ini yang pastinya tidak ada ubat yang mampu menyembuhkan jika sudah terlalu banyak racun dalam badan," katanya.
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menyifatkan kabinet Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk Isnin lalu, cuba untuk menguatkan kedudukan Bersatu untuk menembusi kubu kuat Umno dan Pas terutamanya di kawasan luar dan pinggir bandar.
“Kementerian Luar Bandar; Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; Kementerian Wanita dan Kebajikan; Kementerian Pendidikan dan Kementerian Ekonomi adalah antara kementerian yang tugasnya menjangkau masyarakat luar bandar.
“Malahan, sebahagian besar rakyat amat bergantung kepada kementerian yang dipikul tugasnya oleh ahli parlimen daripada Bersatu.
“Saya pasti strategi ini akan melemahkan kekuatan Umno dan Pas dalam jangka waktu yang singkat. Ada racun dalam madu itulah situasi yg dihadapi oleh Umno dan Pas.
“Nak dibuang madu, sayang juga. Nak diluah terasa sedapnya, tak rasa pula racunnya. Apapun, kesan minum madu beracun ini yang pastinya tidak ada ubat yang mampu menyembuhkan jika sudah terlalu banyak racun dalam badan,” katanya.
Khir Toyo berkata demikian menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.
Dalam hantarannya itu, Khir Toyo turut menimbulkan persoalan padat dan ringkas iaitu, mampukah Muafakat Nasional ini bertahan dengan dugaan dan godaan madu beracun ini.