Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa tidak ada kena mengena dengan Umno tetapi dengan ahli-ahli Parlimen Umno terpilih sahaja.
Oleh itu, mesuarat Majlis Tertinggi dan Biro Politik Umno bersetuju untuk memainkan peranan semak imbang di luar dari kerajaan yang ada, kata ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.
“Semua yang bersuara bersetuju bahawa kerajaan yang ada hanyalah perikatan antara ahli-ahli Parlimen dan bukan kerjasama antara parti-parti,” tulis Khalid dalam facebook beliau.
Mesyuarat semalam juga telah mengambil keputusan menukar Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Annuar Musa yang dilantik oleh Muhyiddin sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Beliau digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Maslan yang tidak termasuk dalam Kabinet Muhyiddin itu.
Selepas pembentukan Kabinet PN, seorang demi seorang pemimpin Umno menyuarakan secara terbuka tentangan mereka terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin.
Semuanya disuarakan oleh bekas menteri atau pimpinan kanan Umno yang tidak menyertai Kabinet. Datuk Bung Mokhtar Radin, Datuk Seri Azalina Othman Said, Tan Sri Shahril Samad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan terkini Mohamed Khalid.
Semuanya tidak berpuashati dengan apa yang dibentuk. Suara-suara pula kebanyakannya datang dari mereka yang berada di luar kabinet itu.
MP TERPILIH
Shahrir Samad dalam ulasannya mengenai perkara ini berkata, pemilihan ahli Parlimen Umno untuk menyertai Kabinet Muhyiddin adalah di kalangan mereka yang menyatakan sokongan kepada kepimpin Tun Dr Mahathir Mohamad menjelang pilihan raya kecil Tanjung Piai.
“Suatu yang menjolok mata apabila 5 daripada 6 ahli parlimen yang mengistiharkan sokongan terbuka terhadap kepimpinan Tun Mahathir telah dilantik menganggotai kerajaan baru Muhyiddin,” tulis Shahrir dalam blognya.
Mereka yang membuat perisytiharan menyokong Tun Dr Mahathir adalah Ahli Parlimen Paya Besar (Mohd Shahar Abdullah), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran) dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).
Namun begitu mastermind di kalangan mereka adalah bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang dilantik sebagai Menteri Luar.
Sebelum ini, Hishamuddin dikatakan sentiasa bermesyuarat dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, perancan utama pembentukan kerajaan Melayu Islam PN. Pendedahan ini dibuat oleh seorang anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Adam. Ia turut disahkan oleh Shahrir.
“Mereka yang enam kesemuanya itu telah bertindak tanpa merujuk kepada parti. Pengistiharaan sokongan mereka dilakukan di sidang media di Parlimen dan sebelum PRK Tanjung Piai. Sehinggakan mereka berenam dilarang untuk berkempen,” kata Shahrir.
Menurut Shahrir, bukan sahaja keanggotaan jemaah menteri dari kalangan ahli-ahli parlimen Umno ini tidak mencerminkan semangat “en bloc” yang terbina di atas kemenangan PRK Tanjung Piai dan semangat perpaduan Perhimpunan Agong Umno Malaysia selepas prk itu.
“Tapi juga portfolio yang dipegang mereka macam tidak dirundingkan dan seolah terserah sahaja kepada budibicara PM yang naik di atas sokongan BN dan Pas,” kata Shahrir.
Sharir juga berkata, beliau tidak puas hati kerana Umno Sabah juga terpinggir.
“… mengapa UMNO Sabah ditinggalkan begitu sahaja. Kalau YB Bung tidak bolih dilantik olih kerana sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah, YB Datuk Mohamed yang baru menang di PRK Kimanis layak untuk jadi seorang timbalan menteri,” tulis Khalid Samad.