NGO BUAT LAPORAN POLIS .CUBAAN GUGAT KESTABILAN KERAJAAN NS



Berikutan terdapatnya cubaan yang kian ketara sejak kebelakangan ini untuk menggugat kestabilan kerajaan PH Negeri Sembilan yang diterajui oleh Amiruddin Harun selaku Menteri Besar, sekumpulan NGO negeri itu bertindak membuat laporan polis dan juga SPRM.
Kumpulan beberapa NGO yang menamakan diri mereka Kumpulan Aktivis Anak Jati Negeri Sembilan itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis di Seremban 2 dan di Ibu Pejabat SPRM Negeri Sembilan di Seremban, pagi tadi.
Tindakan membuat laporan itu adalah bertujuan agar pihak polis dan SPRM menyiasat kesahihan propaganda yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu yang semakin aktif kebelakangan ini untuk mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri PH di Negeri Sembilan.
Propaganda yang ditulis seperti bersiri dan disebarkan secara meluas dalam pelbagai Grup WhatsApp di Negeri Sembilan itu bukan saja dilihat mempunyai tujuan untuk menyingkirkan Amiruddin sebagai Menteri Besar, malah untuk melaga-lagakan dengan pemimpin lain dengan fakta-fakta yang diragui kesahihannya.
Sehubungan itu, Kumpulan Aktivis Anak Jati Negeri Sembilan berharap, melalui laporan yang dibuat, pihak polis dapat menyiasat siapakah “penulis hantu” terbabit, dalang di sebaliknya dan kesahihan maklumat dalam propaganda yang disebarkan itu.
Selain itu, melalui laporan kepada SPRM pula, mereka berharap pihak berkuasa pencegah rasuah pula menyiasat kemungkinan berlakunya amalan rasuah dan membeli Adun-Adun yang dikaitkan sedia melompat parti untuk menjatuhkan Amiruddin sebagai Menteri Besar.
Kemungkinan rasuah yang diperlu disiasat oleh SPRM bukan saja berkaitan pihak yang mungkin menerima rasuah, tetapi juga pemberinya.
Bagi NGO terbabit, laporan yang mereka buat adalah kerana tidak mahu kerajaan negeri PH di Negeri Sembilan ini digugat dengan amalan tidak sihat serta bertentangan dengan undang-undang yang akibatnya sudah tentu akan menjejaskan khidmat bakti kerajaan negeri kepada rakyat.
Jurucakap NGO itu, Madon Mislan berkata, sebagai kerajaan negeri, Amiruddin dan PH seharusnya diberi ruang dan sokongan untuk memberi khidmat sebaik mungkin tanpa diganggu gugat dengan elemen-elemen yang tidak sihat.
Katanya, jika mahu menukar kerajaan negeri ini, ia mesti dan sebaik-baiknya dilakukan melalui pilihanraya, bukan dengan cara menabur propaganda jahat, baling batu sembunyi tangan serta melalui pintu belakang.
“Sekarang adalah masa untuk kerajaan negeri berkhidmat kepada rakyat sesuai dengan mandat PRU14 lalu,” ujar beliau.
Madon seterusnya berharap, pihak polis dan SPRM menyiasat dan memantau semua kegiatan yang mempunyai elemen-elemen untuk menumbangkan kerajaan negeri kerana ia adalah perkara yang tidak sihat dan mungkin wujudnya perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang. (ShahbudinHusin 12/03/2020