Langkah Sheraton: Tragedi menguntungkan Pakatan Harapan



Langkah Sheraton: Tragedi menguntungkan Pakatan Harapan
Saya banyak diajukan soalan sama ada kabinet yang dibentuk semalam hanya akan bertahan selama dua bulan lebih, merujuk kepada kemungkinan kerajaan PN akan tumbang dalam undi tidak percaya di Dewan Rakyat pada 18 Mei nanti.
Dalam politik semua kemungkinan boleh berlaku, namun secara peribadi saya tidak menjangkakan bahawa TS Muhyiddin akan kalah dalam undi tidak percaya tersebut kalau betul usul itu dikemukakan oleh PH nanti.
Sekarang TS Muhyiddin memegang kunci gedung kuasa, beliau berkemampuan untuk memberi tawaran yang lebih bermakna kepada ahli2 parlimen yang sebelum ini menyokong Tun M, secara asasnya beliau berpotensi untuk memperolehi sokongan minimum 112 undi.
Ancaman kepada TS Muhyiddin hanyalah sokongan dalaman PN sendiri kerana perikatan tersebut secara asasnya masih sangat longgar. Jika beliau boleh mengelak perpecahan dalaman PN serta menambah beberapa sokongan MP dari luar, kerajaan ini akan bertahan lebih lama.
Polemik berterusan antara PH dengan Tun M juga boleh menyumbang kegagalan mengumpul sokongan yang mencukupi menjelang Mei nanti, bahkan ada kemungkinan baki beberapa kerat MP daripada Bersatu akan bergabung semula dengan Bersatu induk di bawah Muhyiddin dalam tempoh terdekat ini.
Atas alasan2 tersebut, saya lebih cenderung kepada hipotesis bahawa usul tidak percaya kepada PM nanti akan gagal, Muhyiddin akan memperolehi cukup sokongan, kecuali beliau hilang sokongan sedia ada oleh parti2 PN disebabkan isu2 dalaman.
PH sebenarnya tidak perlu terlalu bersedih dengan kejatuhan kerajaan mereka, begitu juga PN tidak boleh terlalu gembira dengan kejayaan membentuk kerajaan pintu belakang ini, tragedi ini sebenarnya merancakkan kembali pertembungan PRU15 yang sebelum ini dijangka akan berlaku secara berat sebelah.
Sejak PRK Cameron Highland, tahap populariti dan sokongan rakyat terhadap kerajaan PH menjunam dengan sangat teruk. Walau pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan namun situasi tidak menunjukkan perubahan, jika kelok itu berterusan PH berisiko besar untuk kalah dalam PRU15 nanti.
Jika MN bersabar sekejap, mereka berpotensi cerah untuk menang bergaya PRU15 nanti dan masuk ke Putrajaya dengan lebih bermaruah, berbanding masuk melalui pintu belakang yang mencetus polemik dan menimbulkan pertikaian moral seperti ini.
Apabila Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH dan menobatkan kerajaan PN ini berlaku, situasi telah berubah sama sekali. PH yang kelihatan sangat penat dan naif untuk menghadapi PRU15 sebelum itu mula mendapat momentum dan sokongan kembali.
Walaupun pembentukan kerajaan PN melalui cara ini disambut meriah khususnya oleh penyokong2 parti MN, namun secara umumnya tragedi ini juga mencetus penolakan oleh golongan pertengahan yang celik demokrasi. Meskipun mereka tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH sebelum itu, namun mereka tidak bersetuju mandat rakyat diperlekeh seperti ini.
Begitu juga komuniti Cina dan India yang asalnya mula menjauhkan diri daripada PH akibat kurang berpuas hati terhadap prestasi kerajaan sebelum itu, tragedi ini menyebabkan mereka tiada pilihan lain kecuali menyokong PH semula, bibik2 itu sedang berkembang pantas sekarang.
Situasi ini membuka kembali ruang kepada PH untuk bersaing secara kompetitif dalam PRU15 nanti, apatah lagi mereka tiada sebarang isu pertindihan kerusi lagi apabila Amanah boleh terus fokus di kawasan Melayu-Muslim, PKR di kawasan bercampur dan DAP di kawasan bukan Melayu.
Berbeza dengan PN, mereka akan hadapi masalah besar untuk agihan kerusi apabila tiga parti gergasi Melayu iaitu Umno, Pas dan Bersatu akan bertembung kekuatan di tempat yang sama iaitu kawasan berdemografi Melayu-Muslim, proses agihan kerusi pasti sangat mencabar nanti, banyak drama dalaman bakal dipertontonkan.
Selain itu, prestasi kerajaan PN dalam tempoh dua tahun lebih ini akan dinilai secara dekat oleh rakyat khususnya berkaitan isu Melayu-Muslim yang sebelum ini dibebankan kepada PH seperti rombakan RUU355, pelaksanaan hukuman syariah, penangkapan pembunuh Adib, LGBT, pelaksanaan tulisan jawi di SJK, pengharaman Dong Jiao Zong, penangkapan penyokong LTTE dan sebagainya.
Sebagai pembangkang memang mudah untuk memainkan isu2 seperti itu namun situasi akan jadi sangat berbeza apabila jadi kerajaan, apatah lagi kerajaan PN nanti akan berhadapan dengan isu kewangan yang agak rumit apabila perolehan utama kerajaan melalui hasil petroleum menjunam dengan teruk sekarang. Situasi ekonomi semasa memungkinkan bajet 2020 akan disemak semula menyebabkan kerajaan tidak memiliki bajet yang selesa untuk menimbulkan feel good dalam kalangan rakyat.
PH yang asalnya berada dalam mood menunggu kekalahan akhirnya boleh bernafas kembali pasca Langkah Sheraton ini. Jika PH mengambil langkah bijak dengan melupakan segera Bersatu, mereka akan mampu bangkit dengan cepat jika PKR berjaya menyusun kembali struktur dalaman dengan menyingkirkan semua elemen perosak, DAP fokus semula menarik sokongan pengundi Cina dan India, serta Amanah memperkasakan kehadiran mereka di akar umbi komuniti Melayu-Islam.
Untuk menyaingi PH pula, PN perlu bersegera untuk membentuk kolisi rasmi menggunakan satu lambang supaya gabungan itu lebih kukuh dan meningkatkan kepercayaan rakyat secara lestari. Selain membentuk kerajaan bersama di peringkat persekutuan dan beberapa negeri yang dirampas pasca 24 Februari itu, PN perlu bersegera membentuk kerajaan PN di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis, semua ini akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat kepada PN.
Walaupun menteri2 kabinet telah mengangkat sumpah memegang jawatan, namun drama politik tidak akan tamat dengan segera. Berdramalah, kerana memang itu tugas aktor dan aktres politik, namun dalam masa yang sama letakkan rakyat dan negara sebagai prioriti paling utama, harap2 begitulah.

No comments: