MAHATHIR, MANUSIA YANG TAK MENGENANG BUDI



Tun Mahathir Mohamad berkata, Anwar Ibrahim tidak boleh menarik sokongan orang Melayu dan orang Melayu juga tidak menyokong Presiden PKR itu kerana pendirian politiknya yang liberal.

Menurut beliau, perkara itu dapat dilihat apabila Anwar mengajak DAP untuk menyertai bersama gabungan parti yang ditubuhkannya sebelum ini.

“Kalau kita toleh ke belakang, bila dia terkeluar daripada UMNO ketika saya jadi Perdana Menteri pada tahun 1998, dia cuba tubuh sebuah parti menentang saya.

“Dulu sebelum ini Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) keluar parti dan tubuh parti Semangat 46. Tetapi itu parti Melayu.

“Anwar keluar-keluar dia buat parti liberal.
“Dia nak dapat sokongan daripada DAP maka dia ajak DAP masuk, PAS masuk. Falsafah dia liberal,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian.

Meneliti intipati interbiu Tun Mahathir berkaitan hal ini, apa yang nyata ialah beliau masih seorang pendendam dan ingin memusuhi Anwar sehingga ke akhir hayatnya, walaupun Anwar sudah lama memaafkannya.

Sedarkah Tun Mahathir bahawa beliau kini menjadi orang paling tua yang masih ada dendam dan busuk hati terhadap orang yang berbuat baik kepadanya?

Dalam pada itu, Tun Mahathir juga, mungkin kerana faktor terlebih tuanya, beliau ternampak semakin mempunyai kecenderungan menyalahkan semua orang dan menganggap hanya dirinya saja yang betul belaka.

Anwar salah, Najib Razak salah, orang Melayu salah, tetapi dirinya tidak pernah sama sekali salah.

Keputusan menubuhkan PKR, sebuah parti pelbagai kaum bukanlah menunjukkan Anwar seorang yang liberal, tetapi untuk beliau membuka dimensi baru dalam politik negara yang terkeluar daripada sentimen kaum dan agama yang sering menjadi mainan selama ini.

Anwar melihat, oleh kerana Malaysia adalah negara berbilang kaum dan untuk mengelakkan isu kaum dan agama terus menjadi mainan dalam politik, ia antaranya boleh diatasi dengan mengajak rakyat berjuang bersama dalam sebuah parti yang pelbagai kaum.

Hal ini dapat dilihat, meskipun PKR berbilang kaum keanggotaannya, ketegasan Anwar dalam perjuangan untuk Melayu, Bumiputera, bahasa Melayu, agama Islam dan seumpamanya adalah lebih daripada Tun Mahathir sendiri.

Itu belum dikira lagi bagaimana Anwar dalam memimpin kehidupan keluarganya yang lebih mematuhi syariat Islam berbanding Tun Mahathir.

Tun Mahathir, walaupun selalu mengaku memperjuangkan Melayu, beliau sebenarnya lebih kerap memperlekeh orang Melayu sebagai malas, bahkan lebih banyak dikelilingi oleh tauke dan ahli perniagaan bukan Melayu ketika sedang berkuasa.

Tindakan Anwar berkawan dengan DAP sebaik dipecat daripada UMNO (bukan terkeluar daripada UMNO sebagaimana yang disebut oleh Tun Mahathir) bukanlah bermakna beliau seorang yang liberal.

Jika berkawan dengan DAP dianggap liberal, kenapakah ketika mengasaskan Deklarasi Rakyat, Tun Mahathir sendiri memulakannya dengan berbaik dan memerlukan sokongan DAP ketika itu?

Kalau Anwar seorang yang liberal dan PKR sebuah parti yang liberal, mengapa Tun Mahathir masih mahu bergabung dengan Anwar dan PKR untuk menumbangkan Najib pada PRU14 lalu?

Kenapa tidak bergerak sendirian?

Jika tanpa sokongan Anwar, PKR dan DAP, bolehkah Tun Mahathir memenuhi cita-citanya menumbangkan Najib, UMNO dan BN serta berpeluang menjadi Perdana Menteri buat kali kedua?

Kenapa begitu mudah lupa jasa dan sumbangan Anwar, PKR dan DAP terhadapnya?

Dalam keadaan Tun Mahathir sendiri ditikam dan dikhianati oleh Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali sehingga terpelanting daripada kerusi Perdana Menteri dan tidak mampu untuk bangun semula, apa faedah dan pahalanya lagi untuk beliau terus menyalahkan Anwar?

Lebih daripada, jika Anwar dan PKR liberal, manakala Bersatu yang dipimpin oleh Tun Mahathir kononnya tidak liberal, mengapa calon Bersatu lebih banyak kalah daripada menang kepada UMNO dalam PRU14 lalu?

Bukankah jika Tun Mahathir seorang yang benar-benar memperjuangkan Melayu, beliau dengan pengalaman 22 tahun sebagai Perdana Menteri, parti Bersatu yang ditubuhkannya pasti akan memenangi lebih banyak kerusi berbanding UMNO yang dituduhnya parti kleptokrasi?

 (ShahbudinHusin 12/03/2020


No comments: