Semua Adun PH sokong Mukhriz jadi MB, kata ketua PKR Kedah




Johari Abdul berkata, semua wakil rakyat PH komited menjaga kestabilan politik di Kedah.
SUNGAI PETANI: Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Kedah, Johari Abdul mengulangi komitmen parti itu dan semua Adun Pakatan Harapan menyokong kepimpinan Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah.
Sambil menolak andaian ada Adun PH akan melompat parti untuk membentuk kerajaan negeri baru bersama Umno dan PAS, Johari berkata, semua wakil rakyat PH komited menjaga kestabilan politik di Kedah.
“Ketidaktentuan politik negara ini perlu dihentikan kerana keutamaan kita adalah rakyat dan kita di Kedah ini jika dilihat wakil rakyat PH kekal utuh dan saya tidak jangka akan ada perubahan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PKR Kedah hari ini.
Johari yang juga Adun Gurun mengumumkan pelantikan dirinya sebagai pengerusi PH Kedah menggantikan Mukhriz.
“Semalam, kami (PKR) telah mengadakan mesyuarat dengan pemimpin DAP dan Amanah dan mereka bersetuju melantik saya sebagai pengerusi PH negeri yang baru.”
Katanya, pengisian jawatan lain dalam kepimpinan PH negeri pula akan dibincangkan kemudian, termasuk penyertaan Mukhriz dan PPBM sebagai rakan sekutu PH.

No comments: