Gabungan baru hanya bayangan, ditubuh ikut emosi, kata pemimpin PPBM


Tariq Ismail Mustafa berkata, penubuhan Perikatan Nasional hasil daripada pergolakan emosi tidak terkawal.
PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM, Tariq Ismail Mustafa mendakwa gabungan baru yang digelar Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan hanya berdasarkan emosi, bukannya atas sebab objektif dan mulia.
Beliau menyifatkan gabungan itu sebagai bayangan, tiada sebarang struktur atau perjanjian asas yang mengakibatkan beberapa kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) jatuh ke tangan Barisan Nasional.
“Sampai hati presiden PPBM merestui penggabungan PPBM dan Umno yang dianggap tindakan menggadai maruah bangsa, seterusnya menyesatkan lagi bangsa Melayu,” katanya merujuk Muhyiddin Yassin dalam kenyataan hari ini.
Beliau tidak menafikan kewujudan perikatan gergasi khusus untuk orang Melayu mungkin dapat menyelesaikan kemelut politik dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, katanya, penubuhan Perikatan Nasional hasil daripada pergolakan emosi tidak terkawal.
Beliau menjangkakan akan timbul syak wasangka dalam kalangan gabungan baru itu kerana “di sebalik tabir, landasan politik Melayu sebenarnya berpecah kepada pelbagai ideologi dan falsafah yang kadangkala bercanggah”.
“Hakikatnya, walau kita sama-sama Islam dan sama-sama Melayu, tetapi keadaan ekonomi kita terlalu jauh bezanya di kalangan bangsa Melayu ini sendiri. Dan inilah sebenarnya yang membawa kepada konflik maruah Melayu – perbezaan darjat dan kekayaan.”
Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri ke-8 pada Ahad lalu selepas mendapat sokongan BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan PPBM.


No comments: