Usah heret Institusi Raja dalam kemelut politik semasa


(Kenyataan Media Muhammad Shakir Ameer, Naib Ketua DAPSY Kebangsaan)

Saya merujuk kepada kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mengaitkan undi tidak percaya sebagai tidak percaya kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Saya menyeru agar semua pihak, tak kira parti mana, jangan mengheret Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Raja negara kita ke dalam perbalahan politik semasa. 

Berbeda pandangan adalah asam ragam dalam arena politik, namun, semua pihak perlu menghormati kemuliaan Institusi Raja yang menjadi payung negara, berkecuali dalam politik dan merentasi seluruh Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama serta fahaman politik. 

Usul kepercayaan (“confidence motion”) pula sememangnya merupakan sebahagian daripada dan dibenarkan dalam sistem demokrasi berparlimen berpaksi Raja berpelembagaan di Malaysia ini.

Malah, PAS sendiri pernah bersetuju untuk menyokong usul tidak percaya terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak pada tahun 2016. (Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/333552). Masakan empat tahun lepas usul kepercayaan dibolehkan dan tidak pula melibatkan Institusi Raja, empat tahun kemudian, usul kepercayaan pula dikaitkan dengan Institusi Raja.

Jangan pula lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang.

Biarlah kita mengambil iktibar mendiang Pengerusi DAP Karpal Singh; dalam politik walaupun tiada kawan dan lawan selamanya, namun prinsip tetap ada. 



No comments: