RUNDINGAN Umno DENGAN MUHYIDDIN GAGAL. ZAHID TIDAK AKAN MENJADI TPM



Harapan UMNO untuk melihat Presiden parti itu, Zahid Hamidi dilantik sebagai TPM mungkin tidak kesampaian.
Beberapa siri rundingan antara UMNO dengan Muhyiddin Yassin bagi pembahagian jawatan untuk parti itu dilaporkan masih lagi tiada keputusan yang pasti.
Ketidakpastian itu bukan saja berkaitan jawatan TPM untuk Zahid Hamidi, bahkan juga jawatan menteri-menteri tertentu untuk UMNO.
Sebagai pemegang blok terbesar Ahli Parlimen dalam Perikatan Nasional atau PN, UMNO telah menyuarakan pandangan agar selain kerusi TPM, kementerian-kementerian kanan seperti Kewangan, Pendidikan, MITI dan lain-lainnya juga diserahkan kepada wakil daripada parti itu.
Bagaimanapun, Muhyiddin dilaporkan menolak pandangan itu dengan mengatakan adalah hak beliau sebagai Perdana Menteri menentukannya.
Muhyiddin dikatakan hanya mahu UMNO menyenaraikan nama-nama pemimpinnya yang difikirkan layak untuk dilantik sebagai menteri saja, tetapi penentuan kementerian adalah hak beliau untuk membuat keputusan.
Lantaran sikap Muhyiddin itulah Zahid Hamidi dikatakan seperti sudah tawar hati dengan semalam mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO tidak pernah melobi untuk jawatan TPM.
Hakikatnya, memandangkan UMNO adalah kumpulan terbesar Ahli Parlimen dan Zahid Hamidi pula berjawatan Presiden, sepatutnya Muhyiddin tidak perlu beralasan lagi daripada menyerahkan jawatan nombor dua dalam kerajaan kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Kekangan utama Muhyiddin untuk melantik Zahid Hamidi, bukan saja sebagai TPM, bahkan juga sebagai menteri, adalah kerana perbicaraan kes mahkamahnya sedang berjalan ketika ini.
Walaupun duluan sudah ada di mana Tun Mahathir pernah melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan kemudian kes mahkamah beliau yang sedang dibicarakan digugurkan, Muhyiddin sebaliknya dilaporkan tiada keberanian untuk menuruti jejak langkah itu.
Kebimbangan Muhyiddin ialah jika beliau menuruti langkah Tun Mahathir dengan melantik Zahid Hamidi yang dianggapnya tidak cukup bersih sebagai anggota kabinetnya lantaran kesnya sedang dibicarakan, bukan saja serangan terhadapnya akan berlipat kali ganda, malah kes-kes lama yang pernah dikaitkan dengannya seperti Bestarinet dan pengambilan tanah ketika beliau menjadi Menteri Besar Johor dahulu akan turut diungkit semula.
Dalam keadaan kesihatannya yang tidak begitu mengizinkan, di samping perpecahan dalam Bersatu serta tekanan daripada PH dan Tun Mahathir selepas ini, Muhyiddin mungkin tidak cukup kekuatan untuk berhadapan semua cabaran itu.
Dikatakan, kecenderungan Muhyiddin lebih untuk menyerahkan jawatan TPM kepada Hishammuddin Hussein, walaupun anak Hussein Onn itu tiada jawatan dalam parti di peringkat pusat dan sama-sama berasal dari Johor.
Yang penting bagi Muhyiddin, melantik Hishammuddin membuatkannya kurang tertekan menguruskan kerajaan.
Untuk itu, beberapa pelobi UMNO yang dikenali sebagai “orang Muhyiddin” telah mengunjungi Zahid Hamidi dengan memintanya mengendurkan tekanan untuk mendapatkan jawatan TPM, sebaliknya memberi laluan kepada Hishammuddin untuk memegang jawatan nombor dua itu.
Pelobi-pelobi yang berjawatan di peringkat UMNO bahagian itu berpendapat hanya dengan Zahid Hamidi sedia memberi laluan secara sukarela kepada Hishammuddin saja akan memudahkan Muhyiddin melantik barisan kabinetnya dalam waktu terdekat ini.
Bagaimanapun, Zahid Hamidi dikatakan tidak memberi kata putus kepada tekanan pelobi-pelobi yang mengunjunginya itu dengan alasan soal kedudukan kabinet bukan boleh diputuskan olehnya secara sendirian, sebaliknya ia merupakan urusan UMNO secara kolektif.
Yang pasti, dengan kelewatan melantik kabinet sudah berlanjutan hampir seminggu dan pelobi-pelobi sudah dihantar untuk memujuk Zahid Hamidi, gambaran jelasnya ialah Muhyiddin sedaya upaya tidak mahu bergandingan dengan Presiden UMNO itu dalam menguruskan kerajaan pintu belakang yang sedang dipimpinnya.
Kecuali jika Muhyiddin benar-benar sudah tiada pilihan dan tidak mampu lagi untuk melawan, barangkali ketika itu barulah ada peluang Zahid Hamidi menduduki semula kerusi TPM, jawatan yang pernah disandangnya sebelum BN tumbang pada PRU14 lalu. (ShahbudinHusin 07/03/2020)


No comments: