DARI KADIR JASIN

CERITA ini panjang kerana mustahil boleh diceritakan dengan ringkas.

Jalan cerita atau naratif penyokong Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang membawa Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 23 Februari lalu mengandungi beberapa elemen. Antaranya:

1. Bersatu mesti menjadi parti Bumiputera-Melayu terbesar di Malaysia dengan mengambil alih peranan Umno yang sudah rosak;

2. Bersatu tidak boleh menarik sokongan Bumiputera-Melayu selagi bekerjasama dengan DAP dalam PH dan sedikit sebanyak dengan PKR kerana ia mempunyai perwakilan bukan Melayu yang besar;

3. Bersatu wajib keluar PH bagi menyelamatkan Dr Mahathir daripada dihina oleh penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu beliau segera menyerahkan kuasa kepada idola mereka; dan

4.DAP tidak boleh dipercayai untuk menyokong dan mempertahankan Dr Mahathir.

Oleh sebab ramai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mentah dalam politik tetapi bercita-cita tinggi atau tamak (atau kedua-duanya sekali), mereka percaya kepada naratif di atas.

Maka dalam mesyuarat MPT 23 Februari, mereka tidak peduli lagi penjelasan dan rayuan tuan tubuh, iaitu Tun Dr Mahathir, bahawa beliau mempunyai sokongan Majlis Presiden PH.

Oleh sebab itu, Dr Mahathir meraya agar ahli MPT tidak tergesa-gesa mengambil keputusan keluar PH.

Penjelasan beliau mengenai keputusan Majlis Presiden PH dalam mesyuarat 21 Februari yang memberikan sepenuh mandat dan kepercayaan kepada beliau untuk mentadbir sehingga selepas Sidang Kemuncak APEC dan menyerahkan kepada beliau menentukan tarikh peralihan kuasa selepas itu, tidak diendahkan. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Hakikat bahawa Dr Mahathir tidak berbohong atau memberikan interpretasi yang salah semakin terbukti selepas Bersatu keluar PH dan kerajaan PH roboh.

Beberapa orang pemimpin PH telah mula bercerita di media massa bagaimana, menjelang tengah malam 29 Februari, apabila Dr Mahathir kembali menjadi calon PM, telah diputuskan yang Anwar bersedia untuk tidak menyertai Kabinet dan Lim Guan Eng sama ada digugurkan atau tidak lagi menjadi Menteri Kewangan.

Maksudnya, terdapat tolak ansur yang luas di kalangan pemimpin PH di mana Dr Mahathir diberikan ruang untuk bertindak supaya PH terus mempunyai majoriti di Parlimen.

Hari Pengkhianatan

Tapi penjelasan Dr Mahathir kepada MPT Bersatu pada 23 Februari umpama mencurah air ke daun keladi.

Maka terpahatlah tarikh itu sebagai hari pengkhianatan, mabuk kuasa dan strategi hambar oleh majoriti ahli MPT.

Rayuan Dr Mahathir pada mesyuarat itu mudah saja: “Jangan paksa saya langgar prinsip saya. Jangan halang saya tunaikan janji saya.” Itu pun tidak dihiraukan.

Seolah-olah dirasuk syaitan, majoriti ahli MPT menekan dan membantah sehingga Setiausaha Politik Dr Mahathir ketika itu, Muhammad Zahid Mat Arip, menepuk meja dan berkata “buat kali pertama saya menyokong Tan Sri Muhyiddin.”

Adalah diketahui umum bahawa Zahid bukan saja tidak sukakan Muhyiddin malah sering mempersendakan Presiden Bersatu itu.

Selapas Bersatu keluar PH, adakah ia lebih kuat dan dihormati? Adakah orang Melayu berduyun-duyun menyertainya? Adakah Umno yang rosak itu kini hancur lebur?

Apakah penyingkiran Adun Bersatu, Sahruddin Jamil, sebagai Menteri Besar Johor dan digantikan oleh Adun Umno tanda kekuatan dan kejayaan Bersatu selepas keluar PH?

Atau memang strategi Muhyiddin dan para penyokongnya hendak menyerah balik Johor kepada Umno?

Kuat dan Berani?

Kalau Bersatu kuat dan “Perikatan Nasional” kuat mengapakah tidak umumkan berapa orang ahli Dewan Rakyat yang tandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin?

Kalau kuat kenapa takut ke Parlimen sehingga memaksa sidang ditunda daripada 9 Mac kepada 18 Mei?

Kalau Bersatu kuat dan dihormati, mengapakah Adun Bersatu ditendang macam anjing kurap oleh Umno di Melaka?

Nampaknya Umno tetap Umno – hegemonik – dan Bersatu jadi lembu dicucuk hidung. Kalau orang Umno mengenang budi, tentulah mereka iktiraf jasa bekas Adun Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen, yang bermati-matian mahu Bersatu keluar PH sehingga ada orang berkata kerana dia dijanjikan jawatan Ketua Menteri oleh Umno.

Rafiq (duduk kanan sekali) kena main dengan Umno
Di Perak belum tentu apa akan jadi. Buat masa ini Bersatu telah hilang kerusi MB. Adun tunggal Bersatu, Ahmad Faizal Azumu yang menjadi MB sejak PH menang, juga mahu Bersatu keluar PH.

Tapi dia main kayu tiga. Sehingga saat akhir, iaitu pagi Ahad, 1 Mac dia masih kelihatan di kediaman Dr Mahathir di Mines, Sungai Besi. Tetapi selepas itu hilang dan tidak lagi muncul bersama Dr Mahathir. Dia ini juga “budak” Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden Bersatu.

Rupa-rupanya dia mengidamkan atau dijanjikan jawatan menteri pusat kerana dia juga ahli Parlimen. Sekarang khabarnya nama dia tidak ada dalam senarai Kabinet maka dia pun cuba berjalan balik ke Ipoh. Ini pemimpin PH Perak yang bagi tahu.

Jadi Bersatu yang dijanjikan akan lebih kuat setelah keluar PH sudah hilang jawatan MB Johor (negeri Presiden Bersatu), Adunnya di Melaka dibuat macam sampah, hilang jawatan MB Perak dan belum tahu lagi apa akan terjadi di Kabinet dan di negeri-negeri lain.

Dulu, walaupun tidak menang banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, Bersatu dapat juga banyak jawatan Kabinet, Exco dan MB. Hal ini bukan kerana Bersatu kuat, tetapi parti itu dihormati di bawah pimpinan Dr Mahathir sebagai Pengerusi PH dan Perdana Menteri.

Sekarang bukan Ahli Parlimen, Exco dan Adun Bersatu sahaja yang rugi akibat perbuatan cetek akal ini, tetapi semua orang yang dilantik oleh Bersatu dan PH ke pelbagai jawatan juga mungkin hilang kedudukan kepada orang Umno dan Pas.

Tak tahulah kalau Muhyiddin dan ahli MPT yang beria-ia sangat mahu Bersatu keluar PH ada jampi azimat ala tikar terbang “zam zam alakazam” Almarhum P Ramlee untuk terbang ke angkasa lepas.

Atau mereka sangka apabila pintu gua terbuka dengan jampi “niat insun mata aji semar ngiseng” maka bertimbun harta karun yang boleh dikaut untuk memuaskan nafsu tamak haloba.

Satu saja mereka kena ingat. Silap-silap yang mereka temui ialah "ngiseng" (najis air besar).

Wallahuaklam. Terima kasih.

No comments:

(function() { var d = document, w = window; w

LAPORAN POLIS TERHADAP PROF KANGKUNG.STEVEN HARUS SAMAN .

  Hariz Zafrie Laporan polis telah dibuat terhadap seorang profesor berhati jahat yg mencetuskan kebencian antara kaum..