Pakatan Nasional usaha Pas pastikan PH pecah
Parti pembangkang cuba memecah belah Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi meraih sokongan rakyat, kata seorang penganalisis politik.
Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang memberi pandangan berhubung suasana politik dalam negara kebelakangan ini berkata, pembangkangyang dirujuknya sebagai PAS tahu sokongan akan berpihak kepada mereka sekiranya perpecahan dalam HARAPAN itu berlaku.
Perpecahan itu jelasnya bakal memberi lebih peluang kepada PAS untuk menguasai kerajaan.
“PAS akan sokong apa saja usaha untuk pastikan HARAPAN berpecah.
“Jika PAS sokong pembentukan Pakatan Nasional pasti kerana mahu HARAPAN berpecah,” katanya menurut laporan Sinar.
Tambah Mohd Azizuddin lagi, walaupun PAS mendakwa mereka adalah sebuah parti berteraskan Islam, PAS tetap sebuah organisasi politik yang mahukan kuasa.
Pandangan itu dilontarkan Mohd Azzizuddin sebagai mengulas kenyataan pemimpin PAS yang berkata, parti itu secara dasarnya bersetuju dengan cadangan pembentukan Pakatan Nasional.
Sebagai rekod, Pakatan Nasional digembar-gemburkan akan dibentuk secara bersama hasil kerjasamana antara PAS-Umno dan Bersatu.
Ia turut didakwa akan menyingkirkan DAP, Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan sekaligus menghalang Dr Mahathir dari melaksana janjinya untuk menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Mohd Azizuddin turut mengulas kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang kata akan ikut ‘pintu depan’ sekiranya mahu membentuk kerajaan.
“Sebenarnya pembentukan melalui ‘pintu belakang’ itu pun melalui proses demokrasi juga sekiranya jumlah ahli Parlimen mencukupi untuk menuntut kerajaan selain HARAPAN.
“Cuma, adakah hubungan dibuat akan lebih stabil atau tidak berbanding sekarang?” Soalnya.
Sementara itu tambahnya, cubaan memecah belah HARAPAN itu menambah lagi cabaran dihadapi kerajaan yang sedang berusaha membetulkan kepincangan kerajaan terdahulu terutama dalam isu salah guna kuasa, rasuah serta ekonomi.
Sebarang pertukaran pemerintah ketika ini tambahnya dilihat tidak akan memuaskan hati dan keinginan rakyat yang mahu melihat perubahan segera.
“Jika wujudnya Pakatan Nasional, pakatan baharu itu perlu stabil, jika tidak apa bezanya dengan sekarang?” soalnya.